- Iklan -
Berita

Zahid terbuka, sedia dicabar pada pemilihan Umno

Presiden Umno berkata kuasa mutlak adalah kuasa perwakilan yang mewakili cawangan dan bahagian parti itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri dan menteri kemajuan desa dan wilayah berkata ia bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baru 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Zahid berkata terserah kepada perwakilan Umno untuk membuat pilihan masing-masing sekali gus menentukan hala tuju parti bagi memastikan Umno kekal relevan di pentas politik.

“Kuasa mutlak adalah kuasa perwakilan yang mewakili cawangan dan bahagian masing-masing di seluruh negara,” katanya ketika ditanya sama ada dua jawatan utama parti itu akan dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, yang perlu diadakan tidak lebih enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Pada pemilihan yang diadakan pada 2018, Zahid dipilih sebagai presiden setelah menewaskan dua pencabarnya iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah, dengan memperoleh 93 undi berbanding Khairy (51) dan Tengku Razaleigh (23).

“Dalam pemilihan sebelum ini (2018), saya dicabar dua ahli parti namun keputusan memihak kepada saya. Bukan riak, bukan sombong dan takbur tapi ini terbukti pada 2018,” katanya.

Ditanya sama ada parti itu akan menjemput mana-mana parti gabungan dalam kerajaan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU2022) minggu depan, Zahid berkata Umno mengambil pendirian untuk tidak berbuat demikian.

PAU2022 asalnya dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember lepas tetapi ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.