- Iklan -
Berita

Warga Malaysia dipenjara 36 tahun kerana manipulasi pasaran saham Singapura

Sementara rakan subahat John Soh Chee Wen, Quah Su-Ling dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Agung Singapura menempatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Mahkamah Agung Singapura menempatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Dalang "kes paling serius" manipulasi pasaran Singapura yang menelan kira-kira AS$5.8 bilion (RM25.71 bilion) dalam penipuan saham hampir sedekad lalu dijatuhi hukuman penjara 36 tahun, lapor The Straits Times hari ini.

Pendakwa raya memohon hukuman penjara 40 tahun ke atas warga Malaysia John Soh Chee Wen, di mana beliau disabitkan kesalahan itu pada Mei bersama seorang rakan subahat warga Singapura, Quah Su-Ling.

Bagaimanapun, peguam Soh, N Sreenivasan, memohon pengurangan hukuman penjara antara tujuh dan 13 tahun, dengan alasan anak guamnya bukan satu-satu orang yang terlibat dalam penipuan tersebut di mana kedua-dua mereka disabitkan kesalahan menggunakan lebih 180 akaun dagangan bagi menaikkan harga saham tiga buah syarikat.

"Hukuman yang diberikan kepada mereka tidak seharusnya sedemikian rupa kerana mereka menjadi kambing hitam bagi kesalahan orang lain," Sreenivasan dipetik sebagai berkata.

Namun hakim Mahkamah Tinggi Hoo Sheau Peng berkata kedua-dua mereka bertanggungjawab dalam dagangan “sebilangan besar akaun dikawal, pengantara dan institusi kewangan yang terlibat.” 

Dalam pada itu, Quah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun. 

Kedua-dua mereka turut memohon rayuan terhadap hukuman tersebut.

Dalam kes yang disifatkan pendakwa raya sebagai "kes paling serius" manipulasi pasaran saham dalam sejarah Singapura, Soh dan Quah dituduh merancang "penipuan yang rumit dan terperinci" bagi memanipulasi harga saham Kumpulan Blumont, Asiasons Capital dan LionGold Corp.

Soh dan Quah menggunakan saham itu sebagai cagaran, di mana mereka meyakinkan beberapa bank - termasuk Goldman Sachs - untuk memberikan kredit lebih S$170 juta (AS$123 juta/RM559.38 juta) bagi membiayai skim penipuan mereka.

Mereka kemudiannya menggunakan wang tunai tersebut untuk mewujudkan permintaan saham murah, di mana dilaporkan berjaya menaikkan beberapa harga saham sehingga 800% pada 2013.

Bagaimanapun, pada 4 Oktober, harga saham-saham itu jatuh, menyebabkan kerugian yang dianggarkan sebanyak S$8.0 bilion dari Bursa Singapura.

Pada Mei, Soh disabitkan bersalah bagi 180 daripada keseluruhan 188 pertuduhan sementara Quah disabitkan bersalah bagi 169 dari 177 pertuduhan.

Hakim Hoo berkata beliau "berpuas hati tanpa keraguan munasabah bahawa wujud konspirasi antara dua tertuduh untuk memanipulasi pasaran".

Soh ditahan reman sejak kedua-dua mereka didakwa pertama kali pada 2016, manakala Quah diberi ikat jamin.