- Iklan -
Berita

Isu kecekapan pengurusan cerun timbul selepas tragedi Batang Kali

Pakar geologi berkata Malaysia kurang kepakaran yang diperlukan bagi memantau dan mengurus lereng bukit.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail keadaan tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan Batang Kali, Selangor yang meragut 31 nyawa.
Gambar fail keadaan tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan Batang Kali, Selangor yang meragut 31 nyawa.

Seorang ahli geologi berpandangan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab menguruskan cerun di negara ini tidak mempunyai kepakaran yang cukup bagi tujuan tersebut, ketika lebih seminggu lalu negara digemparkan dengan tragedi tanah runtuh yang meragut 31 korban.

Pensyarah geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Nor Shahidah Mohd Nazer berkata Malaysia kekurangan pakar yang mampu memeriksa cerun secara komprehensif.

"Aspek pemahaman cerun memerlukan gabungan maklumat geologi dan kejuruteraan bersepadu, dan sesetengah PBT tidak mempunyai kepakaran teknikal geologi kejuruteraan atau geoteknik untuk menafsir tahap kestabilan sesuatu cerun," katanya kepada MalaysiaNow.

Tragedi tanah runtuh di Batang Kali menuju ke Genting Highlands itu membabitkan 92 mangsa di sebuah tapak perkhemahan. 

Pada Disember 2021, dua mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands.

Tragedi besar lain termasuk tragedi Highland Towers pada 1993 dan tanah runtuh Hulu Langat pada 2011.

Menurut Shahidah, satu pekeliling yang dikeluarkan oleh ketua setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun lalu menyatakan beberapa kelemahan daripada pihak PBT. 

"49% tidak mempunyai struktur urus tadbir dan kepakaran teknikal bagi menguruskan isu-isu berkaitan cerun atau tanah runtuh di kawasan masing-masing.

"70% tidak mempunyai pangkalan data bagi pengumpulan maklumat, 81% tidak melaksanakan penyelenggaraan cerun dan 41% tidak mempunyai kesedaran berkenaan wujudnya garis panduan berkaitan cerun,"  katanya. 

Selama ini, tambah Shahidah, pengurusan cerun adalah mengelirukan ekoran pelbagai garis panduan yang ada. 

Garis panduan baru diseragamkan hanya pada hujung tahun lepas. 

Sementara itu, Mak Khuin Weng, bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata, PBT hanya melihat kepada cerun bukit apabila satu-satu kawasan akan dibangunkan, atau jika ada aktiviti yang akan dilakukan, seperti pertanian. 

Ia akan menghidupkan klausa pelan pembangunan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, yang mana pakar-pakar akan dihantar untuk melakukan kajian. 

Ini kebiasaannya dijalankan oleh pemaju swasta. 

Bagi kes di Batang Kali, Mak berkata ia kebarangkalian merupakan jalan kerajaan kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan kenyataan mengenai jalan tersebut susulan kejadian tanah runtuh. 

"Jika jalan itu di bawah JKR, mereka sepatutnya menyediakan pelan pembangunan dengan laporan yang diperlukan mengenai kebarangkalian kegagalan cerun dan langkah pencegahan," katanya.

Namun berdasarkan pengalaman beliau, MBPJ pernah mempunyai pertikaian dengan JKR mengenai siapakah yang wajar menyediakan pelan tersebut kepada kerajaan tempatan. 

"Pertikaian ini tidak pernah selesai kerana MBPJ berkata JKR perlu memohon, manakala JKR memaklumkan tiada keperluan untuk itu. 

"Jadi, adakah Batang Kali di bawah PBT? Tidak dapat dipastikan. 

“Saya fikir ia bergantung sama ada JKR sudah menghantar pelan kepada PBT,” katanya.

Ini mengandaikan tanah runtuh berlaku dari atas cerun. 

Jika ia berlaku dari bawah, Mak berkata ladang itu perlu mendapat kelulusan PBT dan mereka wajar melihat kepada kebarangkalian tanah runtuh. 

Dalam pada itu, Shahidah berkata senarai hotspot cerun berisiko runtuh boleh diperoleh daripada JKR atau Jabatan Mineral dan Geosains, selain peta bahaya tanah runtuh daripada Agensi Angkasa Malaysia.

Namun akses kepada data itu tidak mudah kerana memerlukan permohonan kepada pihak-pihak terlibat. 

"Kebanyakan penyelidik seperti kami bergantung kepada peta taburan tanah runtuh berdasarkan sejarah kejadian tanah runtuh yang direkodkan berlaku. 

“Peta ini boleh diakses oleh orang ramai melalui carian dalam jurnal penyelidikan," katanya. 

Shahidah yang menjalankan kajian penilaian geomorfologi tanah runtuh berkata, kewujudan tanah runtuh pendam lama (old dormant) menandakan kebanyakan cerun di negara terletak di tanah runtuh yang lama dan menunggu masa untuk aktif semula.

"Kita perlu bersedia kerana keragaman iklim sekarang amat menyumbang kepada pengaktifan semula cerun dan mendedahkan negara kepada risiko geobencana yang ekstrem."