- Iklan -
Berita

Kementerian wilayah distruktur semula menjadi Jabatan Wilayah Persekutuan

Jabatan yang menggantikan kementerian itu kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri taklimat penstrukturan Jabatan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri taklimat penstrukturan Jabatan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam. Gambar: Facebook

Kementerian Wilayah Persekutuan yang distruktur semula dari segi pentadbiran kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan dikenali sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam hantaran di Facebooknya hari ini berkata beliau bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah diberi taklimat berhubung struktur terkini jabatan itu oleh Ketua Pengarahnya Rosida Jaafar.

"Pagi ini saya berkesempatan menghadiri sesi taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi bersama perdana menteri yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Sesi taklimat kepada Perdana Menteri telah disampaikan oleh Rosida, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan berkaitan struktur terkini pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan yang sebelum ini adalah sebuah kementerian, yang telah distrukturkan semula pentadbirannya di bawah JPM," katanya.

Zuki berkata selepas taklimat itu, beliau bersama Anwar telah menghadiri Majlis Interaksi Wilayah Persekutuan.

"Majlis ini merupakan platform di antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu-isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan," katanya.

Menurut Mohd Zuki, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Solehuddin Alyubi, Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah, Presiden Perbadanan Putrajaya Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail turut sama menghadiri majlis itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.