- Iklan -
Berita

Jumlah sebenar mangsa tanah runtuh 92 orang, 1 lagi masih hilang

Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah mangsa yang selamat adalah seramai 61 orang manakala meninggal dunia seramai 30 orang setakat ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang anggora penyelamat memeriksa kawasan tanah runtuh dalam operasi menyelamat mangsa tragedi di Batang Kali, Selangor. Gambar: Reuters
Seorang anggora penyelamat memeriksa kawasan tanah runtuh dalam operasi menyelamat mangsa tragedi di Batang Kali, Selangor. Gambar: Reuters

Memasuki hari kelapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, dekat Batang Kali, hanya seorang kanak-kanak lelaki masih belum ditemukan.

Data baru itu diperoleh selepas polis hari ini mengesahkan jumlah rasmi dan sebenar kesemua mangsa terlibat adalah seramai 92 orang dan bukannya 94 orang seperti yang dikeluarkan sebelum ini.

Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah mangsa yang selamat adalah seramai 61 orang manakala meninggal dunia seramai 30 orang, termasuk empat mayat yang ditemukan pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed, jumlah baru itu diperoleh setelah perkiraan dan semakan semula yang dibuat beberapa kali berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk ahli keluarga.

Sebelum ini, angka 94 orang digunakan meliputi orang yang hilang, selamat dan meninggal dunia yang diperoleh berdasarkan data mereka yang berdaftar di pusat perkhemahan tersebut, namun kekeliruan timbul disebabkan terdapat pertindihan data dan perkara itu disedari pihak polis beberapa hari lepas.

Bagaimanapun, identiti kanak-kanak lelaki yang belum ditemui itu tidak dapat dikenal pasti lingkungan umurnya dan operasi mencari dan menyelamat mangsa akan dijalankan sehingga beliau ditemukan atau setelah pasukan penyelamat menerima arahan tertentu.

Terdahulu, operasi SAR menemukan empat lagi mayat pada 11.04 pagi semalam, melibatkan seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Kesemua mayat berkenaan yang sudah mula mereput ditemukan dalam satu khemah yang sama di Sektor C pada kedalaman tujuh meter serta lengkap berpakaian masih belum dapat dikenal pasti identiti mereka dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Operasi hari ini bagaimanapun terpaksa ditangguhkan kira-kira 8 malam ini ekoran hujan yang turun dan akan bersambung semula pada 8 pagi hari ini bergantung kepada keadaan cuaca.

Selain itu, kemunculan semula Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) lokasi insiden tanah runtuh menjadi tumpuan pengamal media dan anggota keselamatan di sini setelah beberapa hari kelibatnya tidak kelihatan kerana kurang sihat.

Kedatangan Norazam ketika hujan lebat tanpa mengenakan pakaian seragam celoreng bomba adalah untuk memberi semangat kepada anak buahnya yang bertungkus lumus dalam operasi SAR serta menyatakan komitmen dan usaha pasukan keselamatan untuk sedaya upaya mencari mangsa yang masih hilang.