- Iklan -
Berita

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang meningkat

Lebih 36,000 mangsa banjir di Terengganu dipindahkan ke PPS.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.
Gambar fail menunjukkan keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.

Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Pahang terus meningkat, Johor dan Perak kekal manakala di Kelantan semakin berkurangan setakat 8 pagi ini.

Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 36,009 orang pada 12 tengah malam tadi kepada 36,231 orang pagi ini.

Sebanyak 9,739 keluarga masih berlindung di 256 PPS di lapan daerah membabitkan Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini meningkat sedikit kepada 35 orang yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, Kuantan berbanding 30 orang semalam.

Di Kelantan, Sekretariat JPBN menyatakan kesemua mangsa ditempatkan di 119 PPS di sembilan jajahan melibatkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli, Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Machang terus merekodkan penurunan kepada 30,115 orang pagi ini, berbanding 30,551 orang malam tadi.

Di Johor, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 48 orang pagi ini yang masih berlindung di dua PSS di Segamat melibatkan 34 orang di Balai Raya Kampung (Kg) Batu Badak dan 14 orang di Dewan Komuniti Kg Tasek.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat sungai di negeri itu berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar, Buloh Kasap di Segamat dengan ketinggian 8.49 meter (m); Sungai Sembrong di Empangan Sembrong (10.02m); Sungai Ayer Hitam di Kg Paya Embun (4.77m) dan Sungai Endau, Kg Labong di Mersing (1.12m).

Di Perak, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 26 orang daripada 12 keluarga di Bagan Datuk sejak 8 malam tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Tiang Darat.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri akan mengadakan lawatan dan menyampaikan kotak makanan di PPS berkenaan pagi ini.