- Iklan -
Berita

Istilah ‘kerajaan perpaduan’ gemparkan Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee membangkitkan istilah 'kerajaan perpaduan' tidak disebut dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof dalam sidang Parlimen yang bermula hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof dalam sidang Parlimen yang bermula hari ini. Gambar: Bernama

Pengunaan istilah “kerajaan perpaduan” bagi menggambarkan kerajaan sekarang seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dari DAP mencetuskan perdebatan hangat di Dewan Rakyat hari ini. 

Istilah itu dipertikaikan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dari Perikatan Nasional (PN) yang bangun mencelah ketika perbahasan oleh bekas menteri kewangan itu. 

"Kerajaan yang sah sekarang ialah kerajaan perpaduan yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong. 

“Terimalah realiti anda adalah pembangkang," kata Lim ketika membahas usul undi percaya kepada perdana menteri, Anwar Ibrahim.  

Ronald memaklumkan istilah itu tidak pernah disebut oleh pihak Istana Negara dalam surat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Jangan gunakan nama Yang di-Pertuan Agong, tidak disebut pun dalam surat lantikan Tambun," katanya. 

Kerajaan perpaduan dicanang oleh ahli-ahli politik kerajaan terutamanya Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menjelaskan kepada penyokong mereka tindakan bergabung dengan musuh-musuh mereka seperti Barisan Nasional (BN). 

PRU15 menyaksikan tiada satu gabungan politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, meskipun Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang mendakwa menghantar jumlah akuan bersumpah yang cukup untuk dilantik sebagai perdana menteri. 

Usul undi percaya dibawa ke Dewan Rakyat bagi menentukan sokongan terhadap perdana menteri, Anwar selepas dilantik perdana menteri ke-10. 

Kim mempertahankan istilah tersebut dengan merujuk kepada usul undi percaya yang dibawa Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof (GPS-Petrajaya).

Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim menyatakan tiada pembangkang dalam kerajaan perpaduan. 

"Bagitahu  saya negara mana ada kerajaan perpaduan yang mempunyai pembangkang?" soalnya. 

Apa yang menyusulkan ialah perang mulut antara Awang Solahuddin dan Sany Hamzan (PH- Hulu Langat) membabitkan panggilan nama antara satu sama lain. 

Dalam sesi perbahasan itu, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilihat tidak banyak bercakap atau mencelah, menjadikan PH dan PN lebih dominan dalam sesi petang. 

Sementara itu, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, dokumen perjanjian persefahaman antara parti-parti yang membentuk kerajaan pada Jumaat dengan jelas menyatakan “kerajaan gabungan”.

"Ia menyebut kerajaan gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia," katanya. 

Tambah beliau, tiada keperluan untuk usul undi percaya setelah Anwar dilantik sebagai perdana menteri. 

"Ini satu pertandingan sorak yang dibawa oleh perdana menteri yang mana saya bersetuju dengan Bukit Gelugor bahawa tak perlu undi percaya," katanya.