- Iklan -
Berita

Memahami kebangkitan bersejarah PAS menjangkaui naratif ‘Taliban’

Ahli akademik terkemuka, Chandra Muzaffar berkata corak pengundian Melayu adalah rasional dan apa yang berlaku pada pilihan raya umum baru-baru ini adalah pengulangan 1999 dalam skala lebih besar.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Kibaran bendera PAS di jalan raya sekitar Rusila, Terengganu sempena Pilihan Raya Umum ke-15. Gambar: Bernama
Kibaran bendera PAS di jalan raya sekitar Rusila, Terengganu sempena Pilihan Raya Umum ke-15. Gambar: Bernama

Pada pilihan raya umum 1999, kempen pilihan raya menyaksikan sebuah gelombang tajam dalam menyerang PAS selepas setahun pemecatan dramatik Anwar Ibrahim daripada jawatan nombor dua kerajaan, satu serangan media dilancarkan kepada pembangkang, terutamanya terhadap parti Islam itu, yang kemudiannya meraih keuntungan selepas peralihan sokongan Melayu yang sebelumnya menyokong Umno.

Media “arus perdana” yang tertumpu kepada saluran penyiaran massa dan cetak mula memaparkan gambar dan artikel yang menggambarkan parti Islam itu diwakili para “mullah” yang lantang membangkitkan semangat orang ramai untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara teokrasi.

Tidak seperti sekarang, media dalam talian masih tidak giat seperti sekarang, sementara media sosial pula masih belum dibangunkan.

Gambaran yang yang disogok juga memberi amaran kepada orang bukan Islam supaya tidak menyokong DAP, kerana parti itu dilihat sebagai sekutu gerakan reformasi bersama PAS.

Kempen sedemikian sangat ketara di media-media yang mempunyai pengikut dalam kalangan bukan Melayu, kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui Umno pimpinan Dr Mahathir Mohamad menganggap mereka sebagai demografi penting bagi menewaskan pengaruh PAS yang semakin meningkat di peti undi.

Bahkan, pada tahap tertentu, hasil yang diharapkan daripada kempen sedemikian berjaya dicapai. 

Ketika PAS, yang menjalin kerjasama dengan DAP, menang besar di kerusi Melayu, DAP sebaliknya menerima kesan terhadap bank undi tradisionalnya, sehingga pemimpin utama parti itu seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang kehilangan kerusi.

Lebih dua dekad kemudian, naratif PAS sebagai "ekstremis" berulang, gambaran yang disogok itu kembali diperhebat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baik di saluran tidak rasmi seperti aplikasi sembang dan ruangan komen di media sosial.

Beberapa tuduhan itu datang daripada musuh PAS, terutama kenyataan kontroversi Nga Kor Ming dari DAP, yang berkata PAS akan menafikan hak bukan Islam selain turut mahu meneruskan dasar ekstremis seperti yang dilakukan oleh Taliban di Afghanistan.

Pemerhati sosiopolitik terkemuka Chandra Muzaffar, yang juga antara tokoh yang aktif ketika pilihan raya umum 1999, berkata label sebegitu terhadap PAS bukan sahaja tidak adil, malah menunjukkan kegagalan pengkritiknya mengkaji sejarah parti itu selama tujuh dekad.

Malahan Chandra menolak kenyataan Nga tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa dia tak faham PAS langsung,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, dengan mengkaji secara ringkas terhadap PAS dan Taliban, orang ramai akan menjelaskan kesalahan tuduhan sedemikian.

Tindakan Taliban yang menindas wanita sudah didokumentasi juga tidak dapat dilihat pernah dilakukan oleh PAS, bahkan sayap Muslimat PAS tidak pernah diketepikan dalam membuat sebarang keputusan dasar.

Chandra berkata, hakikatnya, majoriti pelajar di pusat pengajian tinggi di Kelantan adalah dalam kalangan wanita selepas lebih tiga dekad PAS memerintah negeri sudah menafikan slogan “PAS adalah Taliban”.

“Ini berbeza dengan Taliban. Dan kalau kita tengok kepada kekuatan ekonomi Kelantan, siapa yang menguasai sebahagian besar ekonomi negeri?

“Wanita.”

Malah, katanya, dari peringkat awal kemerdekaan Tanah Melayu lagi PAS sudah jauh di hadapan dalam usaha membawa wanita menyertai perjuangan mereka.

Tambahnya, pada peringkat awal lagi, PAS sudah mempunyai tokoh wanita seperti Khadijah Sidek, bekas Ketua Kaum Ibu PAS era 1950-an. 

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Johor dan menjadi ahli Parlimen PAS yang pertama dari kalangan wanita setelah menang di Dungun, Terengganu.

Tambahnya lagi, larangan Taliban pada waktu-waktu tertentu terhadap penglibatan wanita dalam pendidikan sememangnya tidak menggambarkan sikap majoriti masyarakat Muslim.

Tegas Chandra, sejarah sudah membuktikan bahawa masyarakat Muslim yang mula-mula sekali menggalakkan pendidikan untuk wanita sebelum tamadun dari barat menjadi perintis kepada idea yang sama.  

Bagaimanapun, Chandra berkata seseorang masih boleh berbeza pandangan dengan PAS dalam banyak isu lain.

”Tapi kalau kita nak kritik mesti bersandarkan kepada fakta dan apa yang benar-benar berlaku,” katanya sekali lagi menunjukkan kekesalannya kerana Nga dilantik sebagai menteri.

Menurut Chandra, isu yang menimbulkan ketakutan kepada PAS adalah berdasarkan tanggapan bahawa parti itu akan menerapkan undang-undang yang akan memberi kesan terhadap gaya hidup orang ramai, seperti larangan mengadakan konsert.

Namun beliau berkata kebangkitan PAS dalam meraih kerusi terbanyak dalam sejarah politiknya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana undi yang diterima adalah manifestasi sebahagian besar orang Melayu yang sudah terlalu kecewa dengan Umno dan BN.

“Ini adalah undi anti-Umno, bukan undi pro-PAS. Tak payah khuatir, ini adalah satu fenomena yang kita faham. Orang Melayu bila dah kecewa dengan Umno, tak percaya kerana rasuah dan penyelewengan sebab itulah mereka beralih kepada PAS.”
 
Namun persoalannya, mengapa PAS?

Chandra berkata ia adalah kerana orang Melayu rasa “lebih selesa” dengan PAS, selain melihat Pakatan Harapan (PH) turut dianggotai DAP.

Beliau berkata situasi yang sama berlaku pada 1999, apabila PAS memenangi 27 kerusi Parlimen, jumlah terbesar dalam sejarah politiknya ketika itu.
 
Perkembangan itu berlaku katanya disebabkan majoriti pengundi Melayu begitu kecewa dengan pimpinan Umno berhubung isu Anwar, lebih-lebih lagi selepas ahli politik yang dipenjarakan itu dilihat mengalami “mata lebam” yang menimbulkan keraguan bahawa ada konspirasi terhadapnya.

Namun, empat tahun selepas itu, sokongan terhadap PAS menurun apabila pengundi Melayu melihat ada permulaan baru dalam kepimpinan selepas Mahathir berundur di bawah Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat bersih daripada tuduhan salah guna kuasa, rapat dengan agama dan merendah diri.

Pada pilihan raya raya umum 2004, Umno bukan sahaja menjatuhkan pentadbiran Terengganu, parti itu juga bahkan hampir merampas semula pentadbiran negeri Kelantan, di mana PAS hanya mempunyai majoriti satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Chandra berkata apa yang berlaku menunjukkan bahawa corak pengundian orang Melayu berdasarkan rasional. 

“Ada sebab dan faktor mempengaruhi. Yang tak faham itu hanya Nga Kor Ming.”

Beliau berkata terlalu simplistik untuk mengatakan kemenangan PAS baru-baru ini sebagai “tsunami”.

“Ini bukan tsunami tapi kebangkitan kesedaran orang Islam tentang nilai-nilai penting dalam agama seperti menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Dan dalam PRU yang baru lalu ini, mereka beralih kepada parti yang lain bukan kerana mereka jadi fanatik ataupun mereka ini mahu Islam yang ada dalam PAS. 

“Mereka sokong PAS kerana mereka kecewa dengan Umno,” katanya.