- Iklan -
Berita

'Apa beza kerajaan PH dengan sebelum ini?', Muda selar Saifuddin berhubung Sosma

Naib Presiden Muda Zaidel Baharudin berkata kenyataan menteri dalam negeri mengenai Sosma seperti kembali ke ‘takuk yang lama’.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution kini menjadi sasaran kecaman susulan kenyataannya yang berkata Akta Kesalahan Keselamatan atau Sosma tidak akan dikaji semula. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution kini menjadi sasaran kecaman susulan kenyataannya yang berkata Akta Kesalahan Keselamatan atau Sosma tidak akan dikaji semula. Gambar: Bernama

Muda hari ini membidas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma, mangatakan hasrat kerajaan untuk tidak mengkaji semula mengenainya seakan kembali ke “takuk yang lama”, tiada perbezaan dengan kerajaan sebelum ini.

Dalam sebuah kenyataan, Naib Presiden Muda Zaidel Baharudin berkata walaupun Saifuddin mendakwa Sosma tidak sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan, namun ia adalah satu undang-undang yang “sangat berat sebelah.”

“Sosma memberikan banyak kuasa yang diberikan kepada pihak penguasa tanpa sebarang semak dan imbang, sebagai contoh penahanan selama 28 hari tanpa perlu melalui proses mahkamah (dalam tempoh penahanan) kalau jatuh kepada individu biasa, itu merupakan satu hukuman yang amat berat tanpa sebarang perbicaraan atau pertuduhan,” katanya.

Selain itu, Zaidel berkata Sosma juga membenarkan pihak penguatkuasa memintas komunikasi secara terus tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang.

“Saya berpendapat kuasa yang menyeluruh seperti ini membolehkan ianya terdedah kepada penyalahgunaan.”

Pada 13 Disember, Saifuddin berkata pada sidang media kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula akta kontroversi itu.

Beliau berkata Sosma membenarkan proses mahkamah berlaku, dengan mengatakan di bawah Sosma, tempoh tahanan "hanya 28 hari" berbanding undang-undang sebelumnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Malahan Saifuddin berkata, tangkapan di bawah Sosma hanya dilakukan selepas  proses "risikan dan bukti yang diperolehi”.

Kenyataan Saifuddin itu diselar badan peguam Lawyers for Liberty (LFL) yang menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan membuat “pusingan U” selepas Mac lalu mengundi untuk tidak bersetuju dengan lanjutan tempoh tahanan di bawah Sosma di Dewan Rakyat.

Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) turut senada dengan LFL, menggesa kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya berpegang dengan prinsip reformasi dalam menangani isu hak asasi manusia, 

Sementara Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR Hassan Karim menyelar Saifuddin, menyifatkannya bersikap seperti seorang polis dalam sebuah catatan Facebook.

Terdahulu, pemimpin DAP Gobind Singh Deo berkata kenyataan Saifuddin itu bertentangan dengan pendirian PH yang sudah lama mendesak Sosma dimansuhkan, manakala bekas ahli Parlimen PKR Maria Chin Abdullah, yang pernah ditahan di bawah undang-undang yang sama, mengingatkan Saifuddin bahawa akta itu digunakan terhadap lawan politik walaupun ia didakwa dibuat bagi memerangi keganasan.