- Iklan -
Berita

Pendirian Saifuddin berhubung Sosma bercanggah dengan prinsip PH, kata DAP

Gobind Singh Deo menggesa menteri dari Pakatan Harapan Saifuddin Nasution untuk mempertimbangkan semula pendiriannya mengenai undang-undang kontroversi itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Damansara bercakap kepada wartawan di luar ibu pejabar PKR di Petaling Jaya pada 12 Oktober. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Damansara bercakap kepada wartawan di luar ibu pejabar PKR di Petaling Jaya pada 12 Oktober. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Damansara dari DAP Gobind Singh Deo hari ini menggesa rakannya dari Pakatan Harapan (PH), Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, supaya mempertimbangkan semula pendirian mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, menyifatkan ia bertentangan dengan pendirian gabungan secara keseluruhannya dan mengakui undang-undang tersebut sebagai "bermasalah".

Dalam satu kenyataan, Gobind berkata PH sangat konsisten dalam menyeru pembaharuan.

"Apabila berdepan dengan perundangan yang bersifat menindas, perbincangan mesti diadakan dan pandangan-pandangan yang berbeza perlu dipertimbangkan dan bergerak ke hadapan selaras dengan desakan kita untuk melakukan pembaharuan," katanya.

Pada 13 Disember, Saifuddin berkata pada sidang media bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula akta kontroversi itu, yang lebih dikenali dengan Sosma.

Beliau berkata Sosma membenarkan proses mahkamah berlaku, dengan mengatakan di bawah Sosma, tempoh tahanan "hanya 28 hari" berbanding undang-undang sebelumnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Malahan Saifuddin berkata, tangkapan di bawah Sosma hanya dilakukan selepas  proses "risikan dan bukti yang diperolehi”.

Gobind berkata walaupun undang-undang diperlukan untuk menangani keselamatan negara, namun sifat Sosma yang "bersifat menindas" tidak boleh dinafikan.

Beliau turut memetik kenyataan pada 2019 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Sosma harus dipinda dan ditambah baik untuk manfaat ramai kerana ia disifatkan "terlalu keras".

Beliau juga merujuk Seksyen 4 akta itu yang membenarkan seseorang ditahan sehingga 28 hari tanpa akses mahkamah.

"Oleh itu, tiada semak dan imbang kuasa terhadap pihak berkuasa penyiasatan dalam tempoh tersebut. Ini membuka peluang terjadinya penderaan bukan sahaja dalam isu tangkapan yang salah bahkan semasa siasatan dijalankan yang mana tidak boleh dibiarkan berlaku.

"Sepatutnya perlu ada proses yang membolehkan seseorang ditahan mendapat akses ke mahkamah dalam tempoh itu. Kerana itulah kami dalam PH mengundi untuk menentang usul yang dibawa oleh menteri dalam negeri pada 23 Mac sebelum ini bagi melanjutkan Seksyen 4(5) Sosma di Parlimen," katanya.

Malahan, beliau menambah walaupun selepas seorang tertuduh didakwa di mahkamah, masih terdapat masalah lain yang jika digabungkan, boleh menyebabkan tahanan berdepan proses memakan masa "bertahun-tahun lamanya di mahkamah".

“Proses perbicaraan dan rayuan adalah panjang, bermakna tertuduh dalam kes seperti ini akan ditahan dalam tempoh yang tidak dapat ditentukan, walaupun selepas terbukti tidak bersalah yang pastinya keras dan menindas.

"Sudah tentu banyak yang perlu dilakukan untuk menghapuskan aspek kejam Sosma ini," katanya.