- Iklan -
Berita

Kemenangan PN 'gelombang integriti', bukan 'gelombang Melayu', kata pemimpin Bersatu

Wan Saiful Wan Jan berkata pengundi jelas menolak penipuan dan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Gabungan baru Perikatan Nasional memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum baru-baru ini dengan menggondol 74 kerusi Parlimen.
Gabungan baru Perikatan Nasional memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum baru-baru ini dengan menggondol 74 kerusi Parlimen.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyangkal dakwaan yang mengatakan kemenangan besar Parlimen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Parlimen Padang Serai sebagai "gelombang Melayu" atau “kebangkitan parti Islam" (green Islamic uprising). 

Katanya, pengundi memilih PN disebabkan “gelombang integriti” yang jelas menunjukkan mereka menolak penipuan dan rasuah dan para pengundi terutamanya golongan Undi 18 tidak mengundi kepada gabungan atas alasan ianya parti Melayu-Islam.

“Mereka mengundi berdasarkan integriti. Ini adalah gelombang integriti di mana orang ramai mengatakan sudah cukup dengan korupsi, penipuan dan cerita-cerita yang digembar-gemburkan selama ini,” katanya dalam satu wawancara bersama Astro Awani malam tadi.

Apabila ditanya apakah yang akan dikatakan oleh para penyokong apabila PN dikaitkan dengan isu penyelewengan berjumlah RM600 bilion di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin, Wan Saiful berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini perlu membuktikan dakwaan tersebut dan beliau sendiri pernah berdolak dalik mengenai jumlah penyelewengan tersebut.

Anwar pada mulanya berkata penyelewengan dana berjumlah RM600 bilion akan tetapi kemudian menukarnya kepada “beberapa puluh bilion sahaja” dalam tempoh beberapa hari selepas menguar-uarkannya.

Pada masa sama, Wan Saiful menegaskan perdana menteri juga perlu membuat penjelasan mengenai bagaimana beliau membalas sumbangan dan bantuan golongan korporat dan taikun sepanjang kempennya sehinggakan mampu menolak bayaran gaji untuk jawatan tersebut.

Pada 2020, MalaysiaNow melaporkan beberapa keping gambar tular Anwar yang menarik perhatian umum menunjukkan hubungan rapatnya dengan ahli-ahli perniagaan terkemuka. 

Antaranya ahli perniagaan Vinod Shekar.

Anwar dilihat menaiki sebuah jet peribadi bernama “PetraTara” dipercayai nama kepada anak-anak Vinod.

“Beliau juga perlu menjelaskan siapa yang membayar biaya rumahnya di Sungai Long? Beliau sepatutnya menjelaskan dari mana beliau mendapat duit untuk kempennya sendiri,” katanya.

PN bukan parti konservatif

Wan Saiful turut menepis dakwaan bahawa Bersatu dan PAS merupakan parti yang bergaris konservatif.

Katanya, gabungan itu membawa falsafah politik “centre right” apabila menggabungkan pandangan haluan kanan dan haluan kiri daripada parti-parti komponen PN.

“Dengan falsafah politik kanan dan politik kiri akan membawa anda beralih ke tengah.”

Katanya, tiada yang negatif dengan pandangan konservatif dalam ilmu falsafah politik moden kerana ianya mengenai mempertahankan nilai-nilai yang sedia ada dalam pasaran ekonomi yang terbuka.

“Jika anda lihat di United Kingdom, ianya selalu pertembungan antara haluan kiri dan konservatif. 

“Jika di Amerika Syarikat, ianya juga melibatkan haluan kiri dari parti Democrat dan konservatif dari Republican.”

Beliau berharap agar Malaysia boleh meneruskan perbincangan mengenai ideologi dengan sihat bukan setakat melabelkan mana-mana pihak dengan dakwaan tertentu.

“Labelkan PN sebagai blok konservatif itu tidak mengapa kerana kami duduk di ‘center right’.

“Tetapi ianya mengelirukan buat Pakatan Harapan (PH) kerana setiap kali orang mengatakan mereka berhaluan kiri, mereka akan jawab dalam penafian,” katanya.

Menurut Wan Saiful antara sebab PN tidak mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan baru di Putrajaya adalah kerana perbezaan ideologi.

Katanya, PN tidak dapat menerima untuk bekerjasama dengan pemimpin “kluster mahkamah” Umno.

"Kami berpegang kepada prinsip itu sejak dari awal lagi dan kami konsisten dengan prinsip tersebut." 

Tambahnya, bukan PN yang mahu bekerjasama dengan kluster mahkamah seperti yang didakwa oleh segelintir pihak sebaliknya Anwar apabila meletakkan “individu terpalit rasuah” menjadi pemimpin utama dalam kerajaan. 

"Beberapa tahun lalu saya ada gunakan istilah ‘Bangsar bubble’. 

"Saya terkejut saya akan gunakan istilah ini lagi kerana betapa cepatnya ‘Bangsar bubble’ ubah pendirian daripada mengkritik kepada mengalu-alukan kluster mahkamah ini."