- Iklan -
Berita

Menjelang mesyuarat MKT, pemimpin Umno gesa kerajaan dakwa hakim Nazlan dan 'perbicaraan adil' untuk Najib

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata parti itu kekal berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno mendesak supaya kerajaan mendakwa hakim yang menjatuhkan hukuman penjara terhadan Najib Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno mendesak supaya kerajaan mendakwa hakim yang menjatuhkan hukuman penjara terhadan Najib Razak.

Seorang pemimpin Umno memberi amaran kepada Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menentang sebarang tindakan mendesak kerajaan menyiasat bekas peguam negara Tommy Thomas, serta memulakan pertuduhan terhadap bekas gabenor bank pusat Zeti Akhtar Aziz dan hakim yang mensabitkan Najib Razak dalam kes SRC International.

Puad Zarkashi turut berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno perlu mendesak supaya  kerajaan menyegerakan "perbicaraan adil" untuk bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Beliau membayangkan gesaan Umno ini akan dibincangkan oleh pemimpin parti dalam mesyuarat MKT pertama parti itu malam ini selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

“Kerajaan perlu didesak menyegerakan RCI Tommy Thomas, RCI Tabung Haji, dakwa Hakim Nazlan, dakwa Zeti Aziz, perbicaraan adil untuk bossku dan saman isu Pulau Batu Puteh,” kata Puad merujuk kepada Najib dengan gelaran "bossku".

"PN tidak boleh bantah. Itu sesuai dengan tagline PN 'Prihatin, Bersih dan Stabil'," katanya.

Puad Zarkashi.
Puad Zarkashi.

Dakwaan terhadap Nazlan ditolak oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang berkata tiada isu berhubung peranannya sebelum ini dengan Maybank.

“Sekalipun Maybank terlibat, persoalannya adalah bagaimana bank itu, dan seterusnya penglibatan Nazlan, dalam sebarang cara penting (material) kepada persoalan salah guna kuasa,” katanya semasa mempengerusikan rayuan terakhir Najib di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi adalah antara pemimpin Umno yang menggesa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat bekas peguam negara Thomas.

Siasatan yang sama dibuat awal tahun ini untuk menyiasat dakwaan kelemahan dalam pentadbiran di Tabung Haji.

Sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, ia menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) melakukan salah tadbir dalam pengurusan Tabung Haji, manakala pemimpin Umno pula menyerang PH kerana dikatakan menjual aset badan itu dengan alasan untuk menjelaskan hutang.

Sementara itu, Umno juga mengecam keputusan kerajaan PH sebelum ini untuk tidak memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Antarabangsa yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.

"Ini bukan soal balas dendam atau salah guna kuasa.

“Ini penggiliran mencari kebenaran," kata Puad.