- Iklan -
Berita

Zahid, Rafizi kongsi pentas ceramah di Padang Serai serang PN

Presiden Umno itu berkongsi pentaas dengan pemimpin PH ketika hangat perdebatan berhubung pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berucap dalam kempen pilihan Pakatan Harapan di Padang Serai di Kulim malam tadi. Gambar: Bernama
Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berucap dalam kempen pilihan Pakatan Harapan di Padang Serai di Kulim malam tadi. Gambar: Bernama

Ahmad Zahid Hamidi berkongsi pentas dengan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) malam tadi di mana mereka bergilir memberikan ceramah kempen pilihan raya di Padang Serai, ketika lantikan presiden Umno sebagai timbalan perdana menteri terus menjadi pertikaian dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang baru ditubuhkan beberapa hari lalu.

Mereka yang berucap termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Jamil Khir Baharom, Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew, pemimpin Amanah Mahfuz Omar dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

"Yang pakai baju biru muda dulu kami alergik nak tengok, tetapi percayalah alaergik ada ubatnya iaitu keihklasan bekerja bersama-sama,” kata Zahid merujuk warna bendera PKR.

“Maka atas dasar itu kita harus melupakan perbedaan di kalangan kita.”

Dalam pada itu, Rafizi pula mengakui situasi yang “kekok” antara beliau dan pemimpin PH yang lain ketika berkongsi pentas dengan Zahid.

"Keadaan luar biasa ini memerlukan keputusan yang luar biasa. Tanya saya kekok ke tidak, memanglah kekok," katanya.

Zahid diserang oleh PH dan digelar sebagai “penyamun” oleh gabungan itu pada pilihan raya umum baru-baru ini, di mana pemimpinnya sentiasa mengulangi ikrar gabungan itu akan memastikan presiden Umno itu dipenjarakan.

Timbalan perdana menteri itu berdepan 47 pertuduhan jenayah berkait sebuah badan amal yang diasaskannya.

Calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak akan berentap melawan dalam persaingan enam penjuru bagi menentukan wakil rakyat pengundi Padang Serai.

Pesaing lain termasuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Manakala calon BN C Sivaraj mengumumkan penarikan dirinya selepas penubuhan kerajaan antara BN dan PH di peringkat persekutuan.

Pengundian Parlimen Padang Serai ditangguhkan kerana kematian calon PH, M Karupaiya, 69, beberapa hari sebelum PRU15 pada 19 November.

Penampilan Zahid malam tadi berikutan pelantikannya sebagai pemimpin nombor dua dalam Kabinet Anwar Ibrahim di mana ia telah mencetuskan kemarahan ramai kerana status presiden Umno itu yang masih menghadapi kes rasuah di mahkamah.

Ramai yang mengecam lantikan tersebut, mengatakan ia adalah salah satu langkah pusingan U yang dibuat Anwar sejak menjadi perdana menteri.

Anwar dan pemimpin PH lain berulang kali berikrar untuk tidak melantik mereka yang berdepan kes rasuah dalam Kabinet, dan menafikan dakwaan PN bahawa beliau mempunyai pakatan sulit dengan Zahid bagi membentuk permuafakatan selepas pilihan raya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi