- Iklan -
Berita

‘Tak kelakar': Pelawak pro-PH disekolahkan di Twitter selepas sindir pemimpin PAS

Ramai yang mengecam Jason Leong kerana membangkitkan topik yang tidak relevan, dan ada juga yang menegurnya kerana menyebabkan keadaan sukar untuk penyokong PH di media sosial.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pelawak Jason Leong memegang kertas saluran undinya pada hari pengundian 19 November lalu. Gambar: Twitter
Pelawak Jason Leong memegang kertas saluran undinya pada hari pengundian 19 November lalu. Gambar: Twitter

Seorang penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) menerima kecaman ramai selepas membangkitkan isu penguasaan bahasa Inggeris Presiden PAS Abdul Hadi Awang, ketika penyokong parti yang bersaing terus bertikam lidah di media sosial selepas lebih seminggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.

Jason Leong, seorang pelawak yang aktif berkempen untuk PH di samping usahanya menepis tuduhan “mengkhianat” berikutan keputusan gabungan itu menerima pemimpin Umno yang terpalit skandal turut diserang berikutan ciapannya di Twitter: “Saya tak pernah jumpa Hadi Awang seumur hidup saya, namun anda boleh tahu yang beliau tak boleh berbahasa Inggeris.”

Ciapan Leong itu mengundang banyak balasan daripada pengguna Twitter, yang kebanyakannya membidasnya kerana membangkitkan topik yang tidak relevan, sementara ada juga yang memberi teguran kerana ciapannya itu menambah lagi kesukaran kepada penyokong PH di media sosial.

"Dengan semua fitnah dan sampah yang dituju kepada saya dari PN, saya tidak tahu sama ada saya perlu berikan respons dengan marah atau tidak melayannya. 

“Apa pun, saya menyuarakan sentimen ramai yang lain bahawa PH harus mempunyai pasukan komunikasi yang berdedikasi untuk menentang maklumat yang salah," kata Leong, cuba mempertahankan kenyataannya di tengah-tengah balasan bertubi-tubi daripada warga Twitter.

"Dengan serangan peribadi seperti ini terhadap PN, anda juga menyebabkan keadaan tidak menjadi lebih mudah (untuk penyokong PH),” kata satu ciapan.

Tidak berputus asa, Leong mempersoalkan: “Mengapa pula ini (dianggap) sebagai serangan peribadi?", namun ia segera dijawab seorang pengguna lain: "Mereka nak beritahu jika tak ada hal yang baik untuk diperkatakan, baiklah diam sahaja”.

Mohammad Faeez Harith, yang mempunyai kira-kira 77,000 pengikut di Twitter, turut menjawab ciapan Leong: "Saya tidak pernah bertemu Jason Leong dalam hidup saya, tetapi anda boleh tahu sebagai seorang pelawak dia tak kelakar."

Berikutan ciapan Faeez, ramai yang menyatakan mereka bersetuju dengannya Leong bukanlah seorang pelawak yang bagus.

Pengguna ir.syid berkata dia pernah menonton salah satu persembahan komedi Leong.

"Tak kelakar, banyak kali saya tertidur. Entah mengapa saya bodoh sangat nak tengok persembahannya."

"Nahhh... lainlah, tak berbaloi nak buang masa (untuknya),” balas seorang lagi.

"Dia ini pelawak? Saya fikir dia seorang...," kata Supetiter, menggunakan emoji badut.

Pengguna lain turut berkongsi ciapan daripada seorang penyanyi hip-hop tempatan Joe Flizzow:

"Jangan berlagak pandai jika anda lebih pintar berbual. Kadang-kadang lu punya berbual pun kosong je pun."

Sementara itu, seorang pengguna Twitter menyiarkan rakaman pendek temu bual Hadi di saluran berita Arab, menunjukkan beliau membuat kenyataan tentang pertembungan ideologi dalam bahasa Arab yang fasih.

"Jason Leong merendahkan orang seperti dia tahu bahasa Arab," tulis Amru.

"Merendahkan taraf orang lain menjadikan hidup awak lebih baik? Apa jenis doktor kamu ini?” tanya T2woFace, merujuk kepada ijazah perubatan Leong.

Sementara itu, Leong dilihat tidak mengendahkan bebenang ciapan tersebut, dan terus berkongsi pandangannya mengenai perkembangan lain, termasuk pendiriannya mengenai undian baru-baru ini di Parlimen Singapura untuk menyahjenayahkan seks golongan gay.

"Majulah Singapura," ciap Leong mengalu-alukan pemansuhan Seksyen 377A Kanun Keseksaan di negara jiran itu.