- Iklan -
Berita

Hadi disiasat berhubung dakwaan menghina PM, tindakan pertama terhadap pembangkang pasca PRU15

Polis Bukit Aman mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung dakwaan Anwar mempunyai kaitan dengan agen Israel.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Polis membuka siasatan ke atas Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan presiden PAS itu terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di bawah undang-undang berkait jenayah penghinaan serta kandungan dalam talian yang pernah digunakan terhadap pengkritik dari Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Polis Bukit Aman mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung dakwaan Anwar mempunyai kaitan dengan agen Israel.

Hadi disiasat mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan niat untuk memfitnah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkait dengan kandungan dalam talian yang "lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dan menyinggung perasaan".

Siasatan tersebut disahkan sehari selepas Anwar mengarahkan polis bertindak terhadap mereka yang menyebarkan kenyataan "fitnah" terhadapnya termasuk dakwaan bahawa beliau adalah agen Israel, seperti yang dikatakan oleh Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Hadi sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk disiasat polis berikutan amaran berulang kali oleh Fahmi dan pemimpin PH yang lain.

"Nak report (polis) report-lah, saya sedia pergi Bukit Aman tak apa," kata Hadi dipetik sebuah laporan Malaysiakini.

Siasatan terhadap Hadi dibuat pada hari yang sama calon Perikatan Nasional bagi kerusi Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin, disoal siasat polis.

Azman sebelum ini membuat kenyataan menyindir kerjasama yang terjalin antara BN dan PH dalam membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan.