- Iklan -
Berita

Polis minta terima baik proses demokrasi, peralihan kepimpinan

Ketua polis negara memberi komitmen polis dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam kekal terjamin di bawah pentadbiran Pengerusi Pakatan Harapan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abduulah Sani. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abduulah Sani. Gambar: Bernama

Semua pihak diminta supaya menerima baik proses demokrasi di negara ini yang melibatkan peralihan kepimpinan kerajaan, tanpa perlu mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Dalam satu kenyataan hari ini susulan pelantikan perdana menteri yang baru Anwar Ibrahim, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab melakukan sebarang provokasi atau membangkitkan isu perkauman dan agama.

“Orang ramai juga diminta tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau perarakan berkaitan politik di tempat terbuka dalam masa terdekat demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna dan pemilik akaun media sosial untuk menjaga adab serta tingkah laku dalam mengeluarkan paparan yang boleh mencetuskan kegusaran kepada masyarakat.

Acryl turut memberi komitmen polis dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam kekal terjamin di bawah pentadbiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“PDRM akan terus kekal komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang demi kesejahteraan masyarakat serta negara,” katanya.

Acryl turut merakamkan ucapan tahniah kepada ahli Parlimen Tambun itu yang dilantik sebagai perdana menteri yang baharu selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Anwar, 75, hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai perdana menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 5.06 petang.