- Iklan -
Berita

Anwar umum cuti pada 28 November

Beliau berkata cuti yang asalnya dicadang diberikan esok terpaksa dianjak ke Isnin depan untuk memberikan ruang kepada nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim ketika sidang media semalam diiringi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar Ibrahim ketika sidang media semalam diiringi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 November sebagai cuti umum sempena pembentukan kerajaan perpaduan dan pelantikan beliau sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia.

Beliau berkata cuti yang asalnya dicadang diberikan esok terpaksa dianjak ke Isnin depan untuk terus memberikan ruang kepada nilai ringgit dan Bursa Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif hari ini.

“Saya bersyukur kerana hari ini dan sebelumnya keadaan dan keyakinan pelabur juga berubah, ringgit diperkuat dan bursa lebih segar. 

“Justeru, saya putuskan esok tidak boleh diberi cuti umum tetapi diganti dengan hari Isnin (28 November),” katanya pada sidang media pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk memberikan cuti umum itu namun ia tertangguh susulan urusan penubuhan kerajaan belum selesai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.