- Iklan -
Berita

DAP mohon maaf kepada GPS dan rakyat Sarawak atas kenyataan ‘menyinggung perasaan’

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bertemu dengan Premier Sarawak hari ini bagi mendapatkan sokongan GPS.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memohon maaf kepada rakyat dan kerajaan Sarawak dalam usaha meyakinkan Gabungan Parti Sarawak mengubah fikiran dan menyokong Pakatan Harapan (PH) ketika gabungan  meneruskan usaha mencari majoriti bagi membentuk kerajaan.

“Saya telah memaklumkan kepada Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka.

“Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif,” kata Loke selepas bertemu Premier Sarawak Abang Johari Openg hari ini.

Loke terbang ke Sarawak ketika Raja-raja Melayu bertemu di Istana Negara atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mendapatkan pandangan bagi memecahkan kebuntuan berhubung pelantikan perdana menteri.

GPS sebelum ini menyatakan sokongan 23 ahli-ahli Parlimennya, termasuk enam Dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

PH mempunyai 82 kerusi Parlimen dan disokong oleh Warisan yang mempunyai tiga kerusi.

Pemimpin GPS sebelum ini berulang kali mengatakan mereka tidak akan bekerjasama dengan PH, disebabkan kenyataan yang dilemparkan terhadap kerajaan Sarawak ketika gabungan itu mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Pada 2019, Lim Guan Eng yang pada ketika itu menteri kewangan dan setiausaha agung DAP mengatakan Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun sekiranya terus diperintah oleh GPS.

Kenyataan itu disokong oleh Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.