- Iklan -
Berita

Paderi nafi bukan Melayu, umat Kristian ditindas di Kelantan

Lim Khet Keang yang telah menjadi paderi di negeri itu selama lebih 30 tahun berkata orang Islam dan bukan Islam hidup bersama dengan rukun dan aman.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa kereta yang diparkir di pintu gerbang Kota Bharu, Kelantan.
Beberapa kereta yang diparkir di pintu gerbang Kota Bharu, Kelantan.

Seorang paderi di Kelantan menafikan persepsi kononnya kaum bukan Melayu dan mereka yang bukan beragama Islam akan ditindas sekiranya hidup di bawah kerajaan pimpinan PAS.

Paderi Lim Khet Keang dari Gereja Presbyterian Kota Bharu, berkata sejak menetap di Kelantan pada usia 10 tahun, dia tidak pernah berdepan sebarang gangguan untuk mempraktikkan ajaran agama Kristian meskipun 95% daripada penduduk negeri yang ditadbir oleh PAS itu adalah Melayu-Islam.

Malah, katanya, hubungan antara umat Islam dan bukan Islam di negeri itu sebenarnya mesra, tidak seperti yang digambarkan netizen di media sosial.

Beliau berkata, keharmonian ini bagaimanapun hanya akan berhasil apabila kedua-dua pihak saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

"Bagi umat Kristian di sini baik-baik sahaja. Umat Islam di sini menghormati kami," kata Lim yang kini berusia 56 tahun kepada MalaysiaNow.

"Mungkin kerana mereka (umat Islam) tidak melihat kami sebagai ancaman memandangkan kaum bukan Melayu hanya dalam 3% di Kelantan."

Ketika rakyat sedang menantikan perkembangan terkini mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan baru dan pengumuman pelantikan perdana menteri ke-10 antara Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim, suasana di media sosial terus "meriah" apabila penyokong kedua-dua pihak terus berbalah mempertahankan parti dan calon pilihan mereka.

Memandangkan PAS merupakan parti yang memperoleh kerusi tertinggi di Parlimen terdapat segelintir pihak yang meluahkan kebimbangan terutamanya di media sosial sekiranya Perikatan Nasional (PN) dipilih menjadi kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan tinjauan MalaysiaNow di media sosial, ramai menggunakan kerajaan PAS di Kelantan sebagai contoh untuk memberi gambaran mengapa mereka tolak parti itu.

Mengulas mengenai perkara ini, Lim berkata tidak adil untuk mengkritik PAS berdasarkan pendirian mereka untuk menegakkan ajaran Islam, sebaliknya orang ramai berhak menolak parti itu sekiranya menilai dari aspek pembangunan.

"Tiada isu agama atau perkauman di sini. 

“Cuma pembangunan tidak dinafikan agak perlahan berbanding negeri-negeri lain," kata Lim yang sudah menjadi paderi lebih 30 tahun di negeri itu.

Tambah beliau komuniti itu juga sudah wujud sejak 1938 dan tidak pernah berdepan masalah untuk mengamalkan ajaran agama mereka sehingga hari ini.

Dalam pada itu Lim terbuka untuk menerima sama ada Muhyiddin Yassin atau Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya dengan syarat mereka mengutamakan perpaduan dan keharmonian.

"Tak kisah siapa jadi PM kerana sekarang kerajaan dilihat agak lemah.

"Justeru kita mesti utamakan pembangunan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat sekiranya ingin terus maju ke depan," tambah beliau.