- Iklan -
Berita

Tuan Ibrahim ketuai PN runding bentuk kerajaan di Pahang

Pembentukan kerajaan negeri di Pahang tertangguh selepas tiada majoriti jelas dalam keputusan pilihan raya baru-baru ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) melantik Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengetuai rundingan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang.

“Perikatan Nasional Pahang akan meneruskan rundingan bagi membentuk kerajaan negeri Pahang seberapa segera,” kata Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan.

PN Pahang turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Pahang yang telah memberi kemenangan kepada PN Pahang sehingga membolehkan gabungan itu berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri, katanya. 

Kerajaan Pahang kini masih belum dapat dibentuk selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh 22 kerusi majoriti mudah untuk menjadi kerajaan negeri. 

Pada PRU15, PN menang 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Barisan Nasional (BN) 16 kerusi manakala Pakatan Harapan lapan kerusi. 

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN, namun proses pengundian DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Disember ini ekoran kematian calon PN kerusi itu Md Yunus Ramli, 61, pada pukul 3.30 pagi Sabtu, dipercayai akibat serangan jantung. 

Semalam, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah berkata PH Pahang sedia bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri, namun menunggu keputusan rasmi daripada pimpinan pusat. 

Setakat ini, BN Pahang yang diketuai Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail masih belum memberi apa-apa kenyataan berhubung kesediaan berunding dengan mana-mana parti.