- Iklan -
Berita

GPS tetap dengan pendirian tubuh kerajaan bersama PN-BN-GRS

Gabungan itu turut menyerahkan kepada budi bicara Agong untuk memilih kerajaan yang stabil mengikut peruntukan Perlembagaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gabungan Parti Sarawak menegaskan pendiriannya untuk menubuhkan kerajaan persekutuan bersama Perikatan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah dan barisan Nasional.
Gabungan Parti Sarawak menegaskan pendiriannya untuk menubuhkan kerajaan persekutuan bersama Perikatan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah dan barisan Nasional.

Gabungan Parti Sarawak hari ini sekali lagi menegaskan cadangannya untuk menubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mengatakan penubuhan kerajaan yang stabil demi kepentingan negara adalah melebihi kepentingan peribadi.

Dalam sebuah kenyataan, Pejabat Premier Sarawak berkata GPS menyerahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik kerajaan kukuh dalam mentadbir negara selari peruntukan kuasa dalam Perlembagaan Malaysia.

“GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan daripada gabungan PN, BN, GPS dan GRS mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Memandangkan kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian mandat rakyat hendaklah dihormati,” katanya.

Pilihan raya umum pada Sabtu menyaksikan Pakatan Harapan bersama Muda memenangi 82 kerusi, diikuti PN (73), BN (30), GPS (23), GRS (enam) dan Warisan (tiga).

Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia masing-masing memenangi satu kerusi manakala blok bebas memenangi dua kerusi.

Sebelum ini, GPS berkata ahli Parlimennya dan GRS akan menyokong Muhyiddin Yassin dalam gabungan PN.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya menafikan ahli Parlimen dari bloknya telah bersetuju untuk bergabung bersama GPS dan GRS untuk bekerjasama dengan PN, memberikan amaran bahawa hanya beliau yang mempunyai mandat untuk memutuskan siapa yang disokong oleh BN.

Zahid dan beberapa pemimpin BN turut mengadakan rundingan dengan pemimpin PH di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur semalam, bagaimanapun tiada sebarang keputusan muktamad dalam rundingan tersebut.

Dalam pada itu, PN menegaskan ia telah menerima sokongan lebih daripada 112 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Istana Negara memberikan waktu akhir menyerahkan akuan bersumpah sokongan ahli Parlimen bagi pelantikan perdana menteri baru adalan 2.00 petang ini selepas ditangguhkan pada waktu sama semalam.

Junjung Perlembagaan, kata PAS

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam sebuah kenyataan senada hari ini berkata semua parti perlu menghormati keputusan pengundi dan menjunjung Perlembagaan negara selain perlu menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian.

Menurutnya, Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“PAS menyeru semua pihak menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada PRU15 yang berlangsung secara harmoni.”