- Iklan -
Berita

Desakan agar Zahid berundur makin kuat bergema

Presiden Umno itu digesa bertanggungjawab terhadap kekalahan terbesar BN dalam sejarah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kempen PRU15.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kempen PRU15.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terus berdepan asakan daripada kepimpinan parti itu supaya berundur dan bertanggungjawab terhadap kekalahan terburuk dalam sejarah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Asakan itu disuarakan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar yang turut meletakkan jawatannya.

"Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai pengerusi Perhubungan Umno Selangor kerana presiden tidak percayakan saya dan saya pun tak percayakan presiden.

"Pada masa sama, kita juga mengharapkan agar Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden Umno seperti mana yang dilakukan Najib Razak (selepas PRU14)," katanya kepada pemberita sebaik berakhir mesyurat Biro Politik Umno dan Pengerusi Perhubungan Negeri yang bermula sejak jam 12 tengah hari tadi.

Sementara Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Mokhtar Radin berkata pula berkata, seluruh kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu harus meletakkan jawatan. 

Selain itu, Ahli MKT Umno Dira Abu Zahar yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim turut menyatakan desakan serupa agar Zahid berundur. 

“Walaupun telah ramai memperkata dan memperingatkan agar parti perlu lebih berhati-hati dan berubah, tetapi tidak diendahkan.

"Akhirnya rakyat sendiri terpaksa menyingkirkan Umno. Bukan sahaja pemimpin besar Umno yang lain, bahkan turut mengorbankan sahabat-sahabat saya, pelapis muda, yang berpotensi dalam Umno dan BN,” katanya.

Dalam hal yang berkaitan,  Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan dalam hantaran di media sosialnya mahu tanggungjawab kolektif daripada saf kepimpinan Umno akibat kekalahan tersebut.

Zahid menang dengan majoriti tipis 348 di kerusi Bagan Datuk menewaskan pencabar terdekatnya, Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada Pakatan Harapan (PH). 

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi antara nama besar yang paling awal menuntut Zahid melepaskan jawatan.