- Iklan -
Berita

Pengisytiharan harta: Ketelusan atau agenda politik?

Walaupun pengisytiharan aset calon pilihan raya adalah bertujuan untuk menunjukkan ketelusan dan integriti, penganalisis berkata bukan semua orang peduli tentang perkara itu.

Azzman Abdul Jamal & Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Calon PKR berdiri bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika majlis pengumuman calon di Selangor pada 28 Oktober. Calon PKR telah mengisytiharkan aset peribadi mereka sempena pilihan raya kali ini.
Calon PKR berdiri bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika majlis pengumuman calon di Selangor pada 28 Oktober. Calon PKR telah mengisytiharkan aset peribadi mereka sempena pilihan raya kali ini.

Seorang pakar kriminologi mempersoalkan sejauh mana keberkesanan tindakan pengisytiharan aset oleh calon PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mengatakan ia dilihat cenderung mempunyai agenda politik berbanding keazaman untuk mengangkat nilai ketelusan.

Kassim Noor Mohamed, yang berpangkalan di UK, berkata pengisytiharan aset mesti dilakukan mengikut prosedur yang betul.

“Biasanya jika anda buat pengisytiharan aset dibuat sebaik sahaja dilantik ke jawatan awam,” katanya.

"Apabila mereka melakukannya, buat macam ini dan uar-uarkan kepada orang, ia seolah-olah lebih cenderung dibuat bagi agenda politik berbanding tujuan sebenarnya yang mahukan ketelusan.”

Setakat ini, calon PKR mendahului dalam langkah pengisytiharan harta menjelang PRU15, walaupun beberapa isu dan persoalan timbul berhubung kekurangan butiran dalam penyenaraian aset mereka.

Calon PKR di Sungai Buloh, R Ramanan, mengisytiharkan hartanya di bawah pelbagai kategori termasuk wang tunai lebih RM23 juta serta barang kemas bernilai RM4 juta.

Beliau turut menyenaraikan RM27 juta aset hartanah, kenderaaan sebanyak RM8.6 juta dan RM3.5 juta dalam saham dan insurans, di mana jumlah keseluruhan RM63.5 juta dalam aset bersih selain turut menyenaraikan kira-kira RM2.5 juta hutang bagi rumah dan pinjaman kereta selain baki hutang kad kredit.

Bagaimanapun, beliau tidak menyenaraikan pecahan terperinci asetnya, selain tidak menunjukkan jumlah wang dalam akaun bank atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Sementara itu, calon PKR di Hulu Selangor, Sathia Prakash Nadarajan, mengisytiharkan kekayaan bersih RM4 juta tetapi tidak memberikan butiran asetnya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah antara beberapa calon Muda yang turut mengisytiharkan harta, mengatakan asetnya melebihi RM1.9 juta.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Kassim berkata kekurangan butiran dalam pengisytiharan harta yang dibuat juga akan menimbulkan keraguan tentang niat di sebalik langkah itu.

“Kalau anda tengok, ada calon yang hanya berikan angka sahaja,” katanya.

“Bila macam itu, nanti, katakan ada orang buat aduan kepada pihak berkuasa, dan apabila pihak berkuasa menyiasat, (mereka) salahkan pihak berkuasa pula.

"Kemudian kata ini satu penganiayaan politik - adakah ini yang mereka mahu?"

'Mengundang ketawa'

Kassim turut mempersoalkan waktu yang dipilih ketika pengisytiharan harta dibuat, mengatakan aset perlu diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Istiharkan aset anda kepada SPRM, dan kemudian SPRM akan ambil langkah seterusnya. Kenapa nak isytihar sekarang, dalam tempoh berkempen?

“Jika SPRM tidak siasat, mereka pula yang dikecam kerana tidak siasat,” katanya. 

“Namun, apabila pihak berkuasa buat siasatan, tengok, kerajaan sekarang gunakan jentera kerajaan untuk periksa mereka. Bila SPRM tak buat siasatan dia marah kenapa tak siasat - bila buat siasatan pun mereka dipersoalkan pula.

"Ini satu hal yang menarik, sehinggakan ia sampai ke tahap yang menggelikan hati kerana bagi saya, kalau nak buat, lakukan secara jujur. Lakukan dengan tertib, berikan semua butiran dan ikut prosedur."

DAP, rakan komponen PKR dalam Pakatan Harapan (PH), baru-baru ini berkata bahawa ia tidak memaksa calonnya mengisytiharkan harta sebelum pilihan raya.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata calon hanya akan mengisytiharkan harta mereka jika mereka dipilih sebagai penjawat awam, selaras dengan amalan parti itu.

Kanyataannya turut senada dengan Khairy Jamaluddin dari Umno yang mengatakan calon Barisan Nasional (BN) dikehendaki mengisytiharkan harta selepas dilantik menganggotai Kabinet.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali menyifatkan pengisytiharan harta yang dilakukan PKR sebagai "sandiwara", mengkritik mereka yang katanya mengisytiharkan harta namun masih menamakan calon yang terlibat dengan tuduhan rasuah.

‘Hanya untuk sebahagian orang’

Penganalisis yang bercakap dengan MalaysiaNow turut memperkecilkan kesan keseluruhan langkah mengisytiharkan aset oleh parti politik, mengatakan ia hanya akan menarik minat golongan tertentu sahaja.

James Chin dari Universiti Tasmania Australia berkata pengisytiharan aset akan menarik perhatian kebanyakan pengundi bandar dan pengundi kelas menengah yang mempunyai minat dalam politik.

“Ramai orang tahu ahli politik pandai sembunyikan kekayaan mereka,” katanya.

"Walaupun mereka isytihar aset, mereka tidak akan bercakap benar."

Dalam pada itu, Liew Wui Chern dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata langkah calon PKR mengisytiharkan harta mereka hanya akan dapat menarik sokongan pengundi di kawasan bandar.

Pengundi di kawasan pinggiran bandar dan pedalaman pula mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu, katanya.

"Jika lawan politik mereka menggunakan isu ini, kawasan pinggiran bandar dan luar bandar mungkin akan ada pendapat berbeza,” tambahnya.

“Selain itu, pengisytiharan aset itu sendiri ada kesan sebaliknya."

Bagaimanapun, beliau menambah kontroversi yang melanda PKR selepas melakukan pengisytiharan harta tidak akan menggoyahkan sokongan penyokong lama terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim atau timbalannya, Rafizi Ramli.

Bekas presiden Transparency International Malaysia president Akhbar Satar berkata tujuan pengisytiharan aset adalah bagi mencegah rasuah dan mendedahkan penyalahgunaan dana awam.

“(Dengan) mengetahui kedudukan kewangan dan jumlah kekayaan ahli Parlimen membolehkan rakyat melihat sama ada wakil rakyat mereka bersih atau sebaliknya," katanya.

Beliau menambah bahawa ahli politik tidak sepatutnya takut untuk mengisytiharkan aset mereka jika mereka tidak melakukan kesalahan.

"Pengisytiharan aset menunjukkan bahawa anda seorang yang jujur," katanya. 

"Mereka yang takut untuk mengisytiharkan harta mungkin menyembunyikan sesuatu."