- Iklan -
Berita

Elak guna gambar ‘poster boy’, strategi menang PRU15?

Wajah pemimpin gabungan dilihat tidak ditampilkan secara meluas dalam kempen di mana penganalisis berkata parti politik ada alasan tersendiri mengapa strategi itu tidak digunakan.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita menunggan skuter elektrik melewat dereta bendera parti politik di Kampung Manjoi, Tambun, Perak.
Seorang wanita menunggan skuter elektrik melewat dereta bendera parti politik di Kampung Manjoi, Tambun, Perak.

Sudah menjadi lumrah bagi parti politik meletakkan gambar pengerusi gabungan masing-masing dalam poster calon dalam setiap kempen pilihan raya, memberikan gambaran pemimpin gabungan akan menjadi perdana menteri jika partinya memenangi pilihan raya umum.

Namun begitu, tinjauan MalaysiaNow menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15, mendapati kebanyakan gabungan utama politik termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), dan Barisan Nasional (BN), tidak begitu aktif menggunakan wajah "poster boy" masing-masing.

Walaupun PH dilihat masih memaparkan gambar Anwar Ibrahim sementara PN menggunakan gambar Muhyiddin Yassin di beberapa kawasan, penggunaan poster boy tidak begitu meriah seperti yang disaksikan pada beberapa pilihan raya di peringkat negeri sebelum ini.

Penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, berkata pendekatan baru ini mungkin dilaksanakan atas sebab tersendiri di mana setiap parti mempunyai alasan berbeza.

Beliau memberikan contohnya BN, mengatakan jika gabungan itu meletakkan muka Zahid bersama calon dalam poster mungkin akan mendorong kepada "pembunuhan undi" dan boleh menyebabkan pengundi beralih ke parti lain.

"Sekiranya calon Umno itu muda, berkarisma dan membawa imej pembaharuan, sudah tentu dia tidak mahu dikaitkan dengan Zahid," katanya kepada MalaysiaNow.

BN menghadapi polemik dalaman apabila terdapat beberapa pihak yang mendakwa Zahid akan dipilih sebagai perdana menteri berbanding Ismail Sabri Yaakob.

Zahid bagaimanapun menafikannya, mengatakan Ismail akan kekal menjadi calon perdana menteri dan “poster boy” BN selepas keputusan itu dicapai dalam Majlis Tertinggi Umno memutuskan.

Selain itu, Zahid turut dikenali sebagai pemimpin kluster mahkamah Umno di mana beliau yang merupakan presiden Umno dan pengerusi BN kini dalam proses bela diri atas 47 pertuduhan membabitkan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Selain itu, Oh berpandangan, keputusan untuk tidak meletakkan muka pengerusi atau presiden parti dalam poster juga adalah antara inisiatif parti politik untuk memikat undi daripada golongan muda yang dikatakan tidak mempunyai sifat "kesetiaan" terhadap mana-mana parti.

Golongan ini terutamanya daripada kelompok usia 18 hingga 20 tahun, disifatkan sebagai "wild card" apabila penganalisis dan pemerhati politik sukar untuk meramalkan keputusan yang bakal dibuat oleh mereka.

Kelompok ini dikatakan lebih tertumpu kepada calon yang diketengahkan parti dan akan membuat keputusan mengikut tawaran yang menepati cita rasa mereka.

"Pengundi muda akan menilai kelayakan dan keupayaan calon berbanding prestasi parti," katanya.

"Mereka tidak mempunyai kesetiaan terhadap mana-mana parti politik."

Dalam pada itu, tinjauan ke bilik gerakan utama (BGU) parti-parti politik mendapati mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa poster yang dipaparkan tidak meletakkan wajah pemimpin utama parti.

Di bilik gerakan PN di Sepang, petugas memandang serius pengundi 18 tahun berkemungkinan tidak mengenal logo parti tersebut apabila pergi mengundi.

"Mereka mungkin kenal Muhyiddin Yassin tapi tak cam logo. Lebih baik kita banyakkan bendera dan poster yang tunjukkan logo parti. Itu strategi mudah nak tarik undi mereka yang mengundi kali pertama," katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, salah sebuah bilik gerakan BN di Ampang menggunakan alasan muka calon lebih penting berbanding pemimpin utama gabungan itu.

Kamal, seorang petugas bilik gerakan BN berkata mereka memerlukan kebenaran dari peringkat pusat sekiranya mahu menggunakan wajah presiden atau pengerusi parti dalam mencetak bahan kempen.

"Lebih cepat dan mudah guna logo BN sahaja sebab tak perlu tunggu kebenaran daripada sana."

Bagaimanapun, Oh berkata masih ada parti yang meletakkan gambar presiden mereka dalam poster kempen iaitu Warisan di Sabah.

Jelasnya, parti itu mungkin menggunakan strategi sama memandangkan presidennya Shafie Apdal masih popular dalam kalangan rakyat Sabah.

"Jadi ia bergantung kepada setiap parti sama ada nak letakkan gambar presiden atau tidak.

"Tetapi memang kita dapat lihat penggunaan strategi yang diguna pakai pilihan raya tahun-tahun lalu tidak begitu meriah kali ini," tambah beliau.