- Iklan -
Berita

Pertembungan antara penyandang dan anak jati di Muar

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Muda berusaha mengekalkan kerusinya bagi satu lagi penggal, namun penduduk tempatan berkata calon dari BN dan PN juga mungkin mempunyai peluang di Muar.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Barisan Nasional dan Muda berkibar di kawasan perkampungan Nelayan di Muar, Johor.
Bendera Barisan Nasional dan Muda berkibar di kawasan perkampungan Nelayan di Muar, Johor.

Di bandar Muar yang terletak di barat laut Johor dan berhampiran dengan Melaka, calon-calon kerusi Parlimen itu kini bersiap sedia memasuki pusingan terakhir tempoh kempen sebelum pengundi keluar ke tempat pengundian Sabtu ini.

Di lapangan, pengundi masih berkira-kira dalam memilih siapakah calon yang akan mereka pangkah di kertas undi pada hari pengundian.

Kerusi Parlimen Muar disandang oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Muda. 

Syed Saddiq memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 dengan tiket Bersatu menewaskan calon Umno dan PAS dengan hanya lebih 53% undi, sebelum parti itu keluar Pakatan Harapan (PH).

Kali ini, beliau akan mempertahankan kerusi itu menggunakan tiket Muda sebagai sebahagian daripada persefahaman pilihan raya dengan PH di mana gabungan itu bersetuju untuk tidak meletakkan calon di kawasan yang ditandingi parti berasaskan orang muda tersebut.

Beliau bakal menentang calon Barisan Nasional (BN) Mohd Helmy Abd Latif dan Abdullah Husin dari Perikatan Nasional (PN).

Syed Saddiq juga berdepan persoalan sama ada beliau akan berjaya mengekalkan kerusinya, memandangkan Muda dilihat kurang berpengaruh berbanding parti lamanya Bersatu, selain lawannya yang merupakan anak jati Muar.

Sementara penyandang Parlimen itu merupakan kelahiran Pulai, Johor Bahru.

Di Parit Jawa, sebuah perkampungan nelayan kecil kira-kira 15.8km dari Muar, seorang nelayan berkata beliau percaya Muda mempunyai peluang untuk menang.

Mohd Sukri Tukimin, 21, mengundi kali pertama pada Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu.

“Muda ada peluang di sini,” katanya kepada MalaysiaNow. 

“Syed Saddiq berikan bantuan – lebih banyak daripada bantuan yang diberikan oleh BN.

“Peluang BN mungkin tidak begitu baik. Helmy orang tempatan tetapi saya tidak nampak dia di sini.”

Sementara itu, berhubung calon PN, Sukri berkata Husin tiada peluang di kawasan itu.

Bagi nelayan di Parit Jawa seperti Sukri, masalah terbesar yang dihadapi mereka adalah aktiviti perikanan yang merentas wilayah di mana nelayan dari kawasan lain seperti Pontian turut melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut.

Dua nelayan Cina tempatan yang enggan menyatakan nama mereka berkata perkara itu menjadi isu sejak bertahun lamanya.

Seorang daripada mereka, yang sudah menetap di kampung itu hampir 40 tahun, berkata ahli Parlimen mereka itu pernah datang untuk berbincang dengan nelayan mengenai isu tersebut.

“Namun masalah itu masih belum dapat diselesaikan,” katanya.

Rakannya pula berkata isu ini berpunca daripada rasuah. 

“Bagi orang Cina di sini, sokongan pasti akan diberikan kepada Muda,” katanya.

Zainal Abidin Abdullah yang menjalankan perniagaan makanan di Parit Jawa berkata, ketiga-tiga calon mempunyai peluang yang sama untuk menang.

"Tetapi anak muda akan sokong Syed Saddiq," kata lelaki berusia 64 tahun itu, di samping menyifatkan presiden Muda itu sebagai seorang ”lelaki yang baik".

Di bandar Muar sendiri, suasana kelihatan lebih santai di mana perang bendera agak kurang berbanding di kawasan kampung.

Bagi seorang pemilik kedai, Yunos Ludin berkata beliau mendapat manfaat daripada bantuan kewangan Syed Saddiq.

"Tetapi jika calon BN adalah muka baru di kawasan itu, dia mungkin berpeluang," tambahnya.

Rakannya, Ng, yang juga seorang pemilik kedai menetap di Muar selama lebih 70 tahun, turut bersetuju dan berkata Syed Saddiq aktif di kawasan itu.

"BN mungkin ada peluang, tetapi masih sukar untuk dikatakan," katanya.

Seramai 68,925 individu layak mengundi di Muar. 

Daripada jumlah tersebut, 67% daripadanya adalah Melayu, sementara Cina merangkumi 32% dan India sebanyak 1%.