- Iklan -
Berita

Kempen makin suntuk, pengundi Tambun masih berteka-teki antara Anwar dan Faizal

Pelbagai faktor dan isu menjadi perhatian pengundi Tambun dalam memilih antara presiden PKR dan timbalan presiden Bersatu itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah papan tanda (kiri) yang dinaikkan calon Perikatan Nasional Ahmad Faizal Azumu seakan menyindir poster calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November.
Sebuah papan tanda (kiri) yang dinaikkan calon Perikatan Nasional Ahmad Faizal Azumu seakan menyindir poster calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November.

Kurang 48 jam sebelum tempoh kempen berakhir, semua calon kini dalam fasa akhir meraih undi, namun di kerusi panas seperti Tambun, persoalan siapakah pilihan pengundi antara presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu masih menjadi tanda tanya.

Tinjauan MalaysiaNow ke kawasan bandar Tambun mendapati, rata-rata pengundi masih berteka-teki siapakah calon paling tepat untuk mereka pangkah pada 19 November nanti berikutan terlalu banyak faktor yang menyebabkan pendirian mereka sering berubah.

Seorang doktor gigi berusia 32 tahun, Lily Heng berkata dia tidak mengenali calon Perikatan Nasional (PN) Faizal kerana baru sahaja didaftarkan mengundi secara automatik di Tambun. 

Atas sebab itu, menjadi sukar untuknya mengukur prestasi  penyandang Parlimen itu pada pilihan raya umum kali ini. 

Menurutnya, sebelum ini dia tidak pernah mengundi menyebabkan dirinya terlepas pandang banyak perkembangan mengenai politik setempat.

"Saya sibuk di klinik saya sendiri. Saya tidak sempat kenal wakil rakyat Tambun. 

"Tetapi saya kenal calon PM Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin. Saya suka cara beliau kawal Covid-19.  

"Mungkin saya tengok calon PM. Ahli Parlimen saya tak kisah. Sama sahaja," katanya kepada MalaysiaNow. 

Lily memberitahu, pesakit yang datang mendapatkan rawatannya tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila Anwar datang bertanding ke situ. 

Bagaimanapun, dia tidak berkongsi perasaan yang sama dengan para pesakitnya. 

Lily berkata dia dan keluarga tidak menyukai gabungan politik yang terlalu bercita-cita tinggi dan menjanjikan bulan bintang tanpa berusaha menunaikannya. 

Katanya, bapanya pernah memberitahu mengenai masyarakat Cina yang tidak semuanya menyokong DAP kerana tidak mahu ditipu oleh pemimpinnya.

"Itulah yang bapa saya kata, saya tak tahu kerana tak pernah undi," katanya yang merujuk sentimen terhadap parti komponen Pakatan Harapan itu.

Seramai lebih 1,300 orang calon PRU15 di seluruh negara, jumlah paling tertinggi pencalonan direkodkan dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. 

Pada 15 November, undi awal PRU15 dijalankan dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 94.72% atau 212,961 orang pengundi terdiri daripada anggota tentera, pasangan, anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selesai melaksanakan tanggungjawab buang undi. 

Dalam pada itu, seorang pembantu di pam minyak, Nizam berkata dia melihat kawasan perumahannya di Taman Sri Tambun cenderung memberi sokongan kepada Anwar. 

Bagaimanapun, pada pandangan anak muda berusia 25 tahun itu, dia masih meragui keupayaan gabungan itu selepas menyaksikan ketidakstabilan dan kegagalan pentadbiran negara selama 22 bulan. 

Menurutnya, perkata yang paling beliau utamakan adalah dalam isu menjaga sensitiviti orang Melayu Islam.

Antaranya, isu tulisan jawi dalam buku teks sekolah rendah dan hal ehwal raja-raja Melayu. 

"Bila fikir tentang hal itu balik, saya jauh diri dengan PH. Tapi tak pasti lagi, kawan-kawan ada pandangan. Keluarga juga ada pandangan. 

"Saya masih belum tentukan (keputusan) undi," katanya kepada MalaysiaNow. 

Bagaimanapun, pemerhatian di bilik-bilik gerakan parti di Tambun mempunyai pandangan berbeza. 

Kedua-dua kem, PN dan PH masing-masing yakin mendapat majoriti undi meskipun mengakui saingan sengit antara Anwar dan Faizal. 

Seorang petugas bilik gerakan PH di Gugusan Manjoi berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan Anwar sedang mendahului di Parlimen itu memandangkan undi daripada anak perantau masih misteri. 

"Mereka ini ramai dan penerimaan mereka kita tak tahu. Kita rasa berpihak kepada kita. 

"Boleh jadi berpihak kepada Faizal ataupun calon underdog. 

"Ramalan dan data memang ada, tapi masih ramalan. Apa-apa boleh berlaku. Nantikan sahaja." 
 
 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.