- Iklan -
Kandungan Berjenama

Penganalisis setuju pandangan Ismail, PAS patut dominan dalam PN

Hisommudin Bakar berkata PAS merupakan parti Melayu terbesar selepas Umno dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
PAS merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional bersama Bersatu, Gerakan, Parti Maju Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku. Gambar: AFP
PAS merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional bersama Bersatu, Gerakan, Parti Maju Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku. Gambar: AFP

Perikatan Nasional (PN) wajar memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada salah satu parti komponennya, PAS yang memiliki pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu.

Penganalisis politik, Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata, situasi itu mempunyai asas melihatkan kepada kedudukan PAS yang mempunyai impak, jentera dan pengaruh dalam kalangan parti PN.

"Ia parti Melayu kedua terbesar selepas Umno, ia memang wajar diberikan peluang namun faktor kepimpinan mungkin menyebabkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang lebih menggemari Muhyiddin Yassin," katanya merujuk kepada presiden Bersatu itu.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata parti Islam itu sepatutnya menjadi lebih dominan dalam PN, ketika kepimpinan PAS dan Bersatu berbeza pendapat mengenai berhubung kerjasama dengan Barisan Nasional (BN). 

Meskipun Bersatu mempunyai 30 kerusi, hanya 13 kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, selebihnya daripada penyertaan ahli-ahli Parlimen Umno dan PKR.

PAS menang 18 kerusi pada PRU14 dan berjaya membentuk dua kerajaan negeri, Kelantan dan Terengganu. 

PAS kini turut mentadbir Kedah selepas kerajaan negeri pimpinan Mukhriz Mahathir tumbang.

Menurut Hisommudin, meskipun kekuatan PAS lebih besar, parti Islam itu dilihat gemar memberi peluang kepada parti komponen lain, seperti ketika berada dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Walaupun mereka kuat dan PKR tidak sebesar sekarang, PAS tetap memberi peluang kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi calon perdana menteri. Mungkin itu cara PAS,” katanya.