- Iklan -
Berita

Majikan swasta digesa beri kelepasan cuti am pada Jumaat, Sabtu sempena PRU

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata ia bagi memenuhi tujuan pemberian hari kelepasan itu oleh kerajaan persekutuan dalam menggalakkan rakyat Malaysia keluar mengundi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis mencelup jari dalam bekas dakwat selepas membuang undi pada hari pengundian awal semalam.
Anggota polis mencelup jari dalam bekas dakwat selepas membuang undi pada hari pengundian awal semalam.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menggesa pihak majikan sektor swasta mempertimbangkan pelepasan cuti am pada Jumaat dan Sabtu ini bagi memberi peluang kepada pekerja menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Beliau berkata hal ini bagi memenuhi tujuan dan hasrat pemberian hari kelepasan itu oleh kerajaan persekutuan dalam menggalakkan rakyat Malaysia keluar mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Katanya, cuti umum itu diisytiharkan di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang merupakan cuti am diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut Seksyen 60D(1)(b) Akta Kerja 1955.

“Menurut peruntukan ini, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Saravanan berkata majikan dikehendaki memaklumkan kepada pekerja sama ada memilih tarikh pada 18 dan 19 Nov sebagai hari cuti am atau menggantikannya dengan tarikh-tarikh lain.

Sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh berkenaan layak menerima kadar gaji bagi cuti am, katanya.

Kerajaan mengumumkan cuti umum di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu ini untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi, manakala negeri yang menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan maka Ahad, 20 Nov ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan.