- Iklan -
Berita

Buat apa ke Bagan Datuk tapi elak kritik Zahid, Faizal persoal Anwar

Timbalan presiden Bersatu itu berkata sikap Anwar itu ‘tidak logik dan tak masuk akal’.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Calon Perikatan Nasional di kerusi Parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu ketika berucap dalam kempen pilihan raya di Tambun, Perak.
Calon Perikatan Nasional di kerusi Parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu ketika berucap dalam kempen pilihan raya di Tambun, Perak.

Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu hari ini mempersoalkan tindak tanduk pencabarnya, Anwar Ibrahim yang dilihat mengelak daripada mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika berkempen di Bagan Datuk, tiga hari lalu. 

Menurut Faizal, sepanjang pengalamannya berkempen pilihan raya dalam negara, adalah satu perkara yang tidak masuk akal apabila seseorang yang bertanding tidak membuat sebarang ulasan terhadap pihak lawannya. 

"Dia pergi sana tak tegur sikit pun (calon) Bagan Datuk. 

"Tak logik," katanya dalam satu ceramah politik di Bandar Sunway Tambun malam ini. 

Terdahulu, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilihat menyelar setiap musuh politiknya dalam satu pentas ceramah di Bagan Datuk.

Antara yang menjadi sasaran termasuk Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika baki kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Bagaimanapun, nama Zahid yang berdepan pertuduhan rasuah dan salah guna di mahkamah terkecuali daripada sasaran ceramah politik pemimpin itu. 

Mengulas lanjut, Faizal menegaskan dalam ucapannya bahawa kedua-dua pemimpin itu berkemungkinan membuat pakatan sulit seperti yang disebut banyak pihak. 

Sebelum ini, Anwar yang mewakili PH di Tambun beberapa kali menafikan andaian wujudnya persefahaman sulit antara beliau dan pemimpin dikaitkan dengan kluster mahkamah Umno itu.

"Mereka sedang berpakat. Sebab itu Umno sangat gembira untuk menghantar calon-calon walaupun mereka tahu tak boleh menang," katanya.