- Iklan -
Berita

Najib, rombongan belanja lebih RM1.19 juta di hotel Trump pada 2017

Selain kerajaan Malaysia, kerajaan di beberapa negara lain turut dinamakan dalam laporan yang mengatakan mereka cuba mempengaruhi dasar luar AS.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan di hadapan Hotel Antarabangsa Trump di Washington, AS. Gambar: AFP
Seorang wanita berjalan di hadapan Hotel Antarabangsa Trump di Washington, AS. Gambar: AFP

Enam negara membelanjakan lebih AS$750,000 (RM3.4 juta) di hotel milik bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mempengaruhi pentadbirannya pada 2017 and 2018, menurut laporan Kongres AS yang diluarkan pada Isnin.

Perbelanjaan itu dibuat oleh pegawai dari China, Malaysia, Qatar, Arab Saudi, Turki, dan Emiriah Arab Bersatu.

Kesemua negara itu disenaraikan oleh jawatankuasa Kongres di mana mereka menerima dokumen daripada bekas firma perakaunan Trump, Mazars USA.

Ahli kongres Carolyn Maloney, seorang Demokrat dari New York yang mempengerusikan jawatankuasa itu, berkata dokumen tersebut mendedahkan bahawa semasa pegawai-pegawai dari negara itu menginap di hotel milik Trump, "mereka berusaha untuk mempengaruhi dasar luar Amerika."

Dokumen-dokumen itu, tambah Maloney, “secara jelas mempersoalkan sejauh mana Presiden Trump dipandu oleh kepentingan kewangan peribadinya semasa memegang jawatan dan bukannya kepentingan rakyat Amerika."

Menurut jawatankuasa itu, sejumlah AS$259,724 dibelanjakan oleh perdana menteri Malaysia ketika itu Najib Razak dan rombongannya di hotel Trump pada September 2017 

Najib menginap di hotel itu di mana beliau membelanjakan AS$10,000 setiap malam, selain membelanjakan AS$44,562 selama tiga hari dan AS$1,500 lagi bagi jurulatih peribadi.

Najib dan ahli keluarganya sedang disiasat oleh Jabatan Kehakiman pada masa itu kerana merompak dana kekayaan negara Malaysia, kata jawatankuasa itu.

ddDalam sebuah kenyataan kepada The New York Times, anak lelaki Trump, Eric Trump berkata keuntungan yang diperoleh daripada penginapan hotel itu dikembalikan kepada kerajaan persekutuan melalui bayaran tahunan kepada Jabatan Perbendaharaan.

"Sebagai sebuah syarikat, kami berusaha keras untuk mengelak sebarang konflik kepentingan," kata Eric Trump. 

"Bukan kerana sebarang keperluan undang-undang, tetapi kerana rasa hormat terhadap jawatan presiden."

Organisasi Trump menjual Hotel Trump di Washington kepada kumpulan pelabur pada Mei 2022 dengan harga AS$375 juta.

Pada Januari tahun lalu, mahkamah menolak saman tuntutan yang mendakwa Trump melanggar perlembagaan kerana menerima pendapatan daripada sumber asing, mengatakan kes itu boleh dipertikaikan kerana Trump sudah meninggalkan Rumah Putih.

Kes tersebut berpunca daripada klausa emolumen dalam Perlembagaan AS, yang melarang pegawai awam menerima hadiah, bayaran atau gelaran daripada negara asing tanpa kebenaran Kongres.

Trump menyerahkan pengurusan perniagaan hartanahnya kepada anak-anaknya selepas memegang jawatan presiden pada 2017, beliau turute memegang sahamnya dalam Organisasi Trump, yang menghasilkan pendapatan AS$435 juta pada 2018.