- Iklan -
Berita

Bekas pegawai Goldman saman bekas majikan Tim Leissner sebanyak AS$130 juta

Roger Ng menuduh Leissner beberapa kali berbohong untuk mencuri pelaburannya dalam syarikat minuman tenaga Celsius Holdings dan syarikat kecerdasan buatan Sentient Technologies.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas didapati bersalah bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB pada 8 April. Gambar: Reuters
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas didapati bersalah bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB pada 8 April. Gambar: Reuters

Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng, yang disabitkan kesalahan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB, memfailkan saman terhadap saksi utama pendakwaan AS Tim Leissner sebanyak lebih AS$130 juta (RM611 juta), mendakwanya melakukan penipuan.

Dalam saman yang difailkan di Manhattan, New York itu, Ng menuduh bekas majikannya itu berbohong bagi menyelewengkan pelaburan dalam sebuah syarikat minuman tenaga Celsius Holdings dan syarikat kecerdasan buatan Sentient Technologies.

Saman itu berkata, Leissner, yang merupakan bekas rakan kongsi Goldman, mencuri wang Ng untuk menampung kos pembelaannya dalam kes jenayah berkaitan di mana beliau mengaku bersalah pada 2018, menggunakan wang Ng untuk membayar pembelaan dan merayu sabitan kesalahannya.

"Ng berada dalam kedudukan yang tidak dapat dibayangkan kerana terpaksa mempertahankan dirinya terhadap dakwaan  orang yang menipunya dan mencuri wangnya di mana plaintif Ng juga terpaksa berdepan dakwaan yang sama," kata saman itu.

Peguam Leissner masih tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai perkara itu.

Ng, bekas ketua unit pelaburan untuk Goldman Sachs Malaysia, berkata penyelewengan Leissner termasuk pegangan AS$1.25 juta Celsius yang kini bernilai lebih AS$130 juta, dan AS$1 juta bagi membeli separuh daripada kepentingan Leissner dalam Sentient.

Ng berkata beliau hanya mengetahui perbuatan Leissner mengalihkan pelaburan Celsius pada Mei 2021, ketika Leissner dan isterinya, Kimora Lee Simmons disaman oleh bekas suami Simmons, Russell Simmons.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion sementara unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah, bagi menyelesaikan siasatan terhadap penyelewengan berbilion dolar dana 1MDB dan rasuah bagi mendapatkan peluang perniagaan untuk bank itu.

Pada April, juri persekutuan di Brooklyn memutuskan Ng bersalah kerana bersubahat dalam melanggar undang-undang anti rasuah dan melakukan pengubahan wang haram.

Ng berdepan hukuman penjara 30 tahun. Beliau dan Leissner dijadualkan menerima hukuman pada pertengahan Februari.

Sementara ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low yang disyaki menjadi dalang penyelewengan itu, turut didakwa di Brooklyn namun masih bebas.