- Iklan -
Berita

Penumpang terjejas gangguan LRT akan terima pampasan pas dilanjut sah laku

Prasarana berkata tidak adil jika penumpang membayar namun seminggu tidak boleh menggunakan perkhidmatan LRT.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penumpang melihat status perkhidmatan LRT yang tergendala di stesen KL Sentral di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Seorang penumpang melihat status perkhidmatan LRT yang tergendala di stesen KL Sentral di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan memberi pampasan kepada pengguna transit aliran ringan (LRT) yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan dengan melanjutkan tempoh sah laku pas, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata lanjutan tempoh sah laku pas itu seperti My50, iaitu pas tanpa had untuk pengguna perkhidmatan Rapid KL, akan bergantung kepada pihak pengurusan Prasarana.

"Kami melihat tidak adil jika seminggu tidak boleh guna (LRT) tetapi tetap membayar. Tempoh sah laku akan dilanjutkan, berapa lama bergantung kepada pengurusan Prasarana.

"Saya telah dapat kepastian daripada Prasarana, itu yang akan dilakukan," katanya dalam sidang media berhubung isu gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, di Petaling Jaya hari ini.

Prasarana telah mengumumkan 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 November lepas ekoran gangguan sistem.