- Iklan -
Berita

BN yakin tawan lebih 112 kerusi Parlimen, kata Ismail

Naib presiden Umno berkata maklumat terkini kempen PRU15 menunjukkan perkembangan penerimaan pengundi terhadap BN amat positif.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bertemu orang ramai semasa berkempen di Melaka. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bertemu orang ramai semasa berkempen di Melaka. Gambar: Bernama

Barisan Nasional (BN) yakin mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden Umno, berkata berdasarkan maklumat terkini kempen PRU15 yang dibentangkan pada mesyuarat "top five" parti itu di Kuala Lumpur hari ini, perkembangan penerimaan pengundi terhadap BN yang diterima beliau amat positif.

"Top five" Umno merujuk kepada Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Mohamad Hasan serta tiga naib presiden iaitu Mohamed Khaled Nordin, Ismail dan Mahdzir Khalid. 

Ismail berkata walaupun BN boleh membentuk kerajaan dengan 112 kerusi namun beliau percaya ia tidak akan bersendirian dalam membentuk kerajaan sebaliknya bersama dengan rakan BN dari Sabah dan Sarawak supaya lebih stabil. 

"Kita memerlukan kerajaan yang lebih kuat. Kita perlukan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak untuk bersama kita dan mengharapkan sokongan mereka untuk memperkuatkan kerajaan yang dibentuk pada masa akan datang. 

"Walaupun 112 (kerusi Parlimen) sudah boleh membentuk kerajaan kerana tidak boleh lagi berlaku lompat parti tetapi kita mahu kerajaan yang lebih kuat bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program ramah mesra di Kampung Batu Bor hari ini.