- Iklan -
Berita

Ramalan jangkaan menang kerusi hanya mainan persepsi, kata penganalisis

Walaupun setiap parti akan meramalkan kemenangannya di mana-mana kerusi, namun faktor penentu ialah peratusan keluar mengundi pada hari pilihan raya.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera parti dinaikkan sempena kempen pilihan raya di Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur.
Bendera parti dinaikkan sempena kempen pilihan raya di Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur.

Tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengumumkan jangkaan kerusi yang mampu dimenangi dilihat hanya sekadar mainan persepsi, ketika penganalisis masih berbelah-bahagi mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pemerhati politik veteran, Azizi Safar berkata, wujud ketidakselarasan apabila kepimpinan PH menyebut jumlah kerusi yang berbeza. 

"Rafizi kata PH boleh menang 80 kerusi. Anwar Ibrahim kata dah ada 100 kerusi. Mana satu yang betul?

"Antara presiden PKR dan timbalan presiden PKR jangkaan siapa lebih tepat?" katanya sinis kepada MalaysiaNow. 

Azizi yang juga bekas setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang itu merujuk kepada dua kenyataan berbeza antara Anwar dan Rafizi.

Anwar yang juga pengerusi PH minggu lalu melahirkan keyakinan gabungan pembangkang itu mampu mengulangi keputusan bersejarah PRU14 dengan merebut 100 kerusi. 

Katanya, PH hanya perlukan 12 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. 

Bagaimanapun, Rafizi yang bertanding di kerusi Parlimen Pandan berkata 80 kerusi sudah berada dalam tangan gabungan itu. 

Beliau menggunakan data kajian daripada syarikat Invoke yang ditubuhkannya. 

Namun bagi Azizi, ia tidak pelik kerana semua parti yang bertanding menjangkakan mereka akan menang.

"Ini mainan persepsi PH untuk dapat sokongan rakyat, bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU15. Kaedah yang biasa digunakan oleh pemimpin-pemimpin politik dalam pilihan raya.

"Invoke biasanya buat tinjauan melalui telefon dan mungkin andaian Rafizi berdasarkan tinjauan itu," katanya.

Menjelang PRU15 pada 19 November ini, 222 kerusi Parlimen akan menjadi rebutan parti-parti politik utama yang bertanding termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Gabungan parti politik memerlukan 112 kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

PH termasuk Muda bertanding di 212 kerusi. 

DAP mempertaruhkan lapan calon di Sarawak menggunakan logo sendiri.

BN pula bertanding di 178 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan calon di 149 kerusi Parlimen. 

22 kerusi di Kelantan dan Terengganu ditandingi PN atas tiket PAS.

Lain-lain parti termasuklah  Pejuang (116), Gabungan Parti Sarawak (31), Warisan (52), Parti Rakyat Malaysia (16), Gabungan Rakyat Sabah (13), Parti Sarawak Bersatu (10) dan Putra (9).

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Ahmad Marthada Mohamed turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

Menurut beliau, ramalan itu lebih kepada ingin membawa hayunan undi dan meyakinkan pengundi untuk memilih PH. 

Kiraan Rafizi itu disifatkan sebagai ekstrem. 

Prestasi PH mungkin kekal di Kuala Lumpur yang terdiri daripada pengundi Melayu bandar dan bukan Melayu. 

"Kecenderungan pengundi bandar dan bukan Melayu masih terikat dengan sokongan kepada PH, jadi tidak hairan jika Pakatan Harapan masih mengharapkan majoriti kemenangan di Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor," katanya.

Namun berdasarkan kiraan Marthada, PH dijangka menang 51 kawasan di Semenanjung iaitu Selangor (13) Kuala Lumpur (10), Negeri Sembilan (4), Perak (11), Pahang (2), Johor(8) dan Melaka (3).

Bagi Liew Wui Chern dari Universiti Tunku Abdul Rahman, beliau tidak terlalu teruja dengan ramalan 100 kerusi oleh Anwar.

Bagaimanapun katanya, ada peluang ramalan Rafizi mengenai 80 kerusi dimenangi PH menjadi realiti.

Namun katanya ia bergantung kepada peratusan keluar undi.

"Ramalan 80 kerusi Rafizi boleh dicapai jika kadar keluar undi melebihi 75%.

"50-60% tidak mampu membawa PH menang lebih 80 kerusi," tambahnya. 

Katanya, PH mempunyai sedikit kelebihan berbanding BN atau PN. 

"PN sedang memecahkan undi daripada BN. 

“Ini yang mendasari pandangan optimistik Rafizi mengenai keupayaan PH untuk mendapat banyak kerusi."