- Iklan -
Berita

Infrastruktur, ruang awam masih jadi isu di bandar 'moden' Shah Alam

Walaupun menjadi ibu negeri terkaya di Malaysia, Shah Alam masih dibelenggu masalah infrastruktur.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Sebuah keluarga berjalan menuju tangga di bahagian parkir kereta di kawasan perumahan kos rendah Shah Alam, Selangor.
Sebuah keluarga berjalan menuju tangga di bahagian parkir kereta di kawasan perumahan kos rendah Shah Alam, Selangor.

Bandar Shah Alam yang menjadi ibu negeri Selangor, negeri terkaya di Malaysia, masih dirundung masalah infrastruktur meskipun selalu dipandang sebagai bandar yang relatifnya moden oleh penduduk Malaysia.

Kemajuan yang dikecapi negeri itu menyebabkan ramai perantau dari negeri lain mencari rezeki di bandar Shah Alam. 

Dahulu dikenali sebagai Sungai Renggam, Shah Alam juga menjadi tuan rumah kepada beberapa institusi pendidikan terkemuka seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor dan Malaysia Science University (MSU).

Selain itu, ada juga kawasan industri berat dan kilang-kilang pembuatan. 

Namun di sebalik kemeriahan pembangunan dan kemajuan ekonomi, beberapa aspek infrastruktur masih membelenggu penduduk bandar itu.

Seorang penduduk di Seksyen 16, Shah Alam, Luqmanul Arif Karim,30, berkata, sepanjang mendiami bandar itu sejak kecil, kualiti jalan raya dan fasiliti untuk komuniti tempatan antara yang sering dibangkitkan penduduk.

"Taman permainan untuk kanak-kanak mohon untuk diselenggara, kerana ada lokasi yang sudah uzur dan tidak selamat untuk digunakan.

"Sukar untuk saya bawa anak dan keluarga untuk bermain. Kadang-kala terpaksa bawa ke lokasi yang lebih jauh," katanya.

Katanya, jalan di sekitar Taman Sri Muda juga perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib selain memastikan isu banjir tidak berlaku lagi. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Shah Alam, Dr Afif Bahardin berkata, isu infrastruktur itu diakui masih dapat dilihat terutama di kawasan Shah Alam yang kurang membangun.

"Shah Alam ini terbahagi kepada dua, dari Seksyen 1 hingga 15 ialah kawasan yang terdiri daripada golongan pertengahan dan ke atas. Mereka berpendidikan dan ada jangkaan berbeza.

"Tetapi ada kelompok yang tinggal di Seksyen 16 hingga 24, sebahagian besarnya golongan B40. Mereka tinggal di kawasan perumahan yang padat, sempit ruangnya dan tidak kondusif," katanya kepada MalaysiaNow.

Anak jati Shah Alam itu mengambil contoh kawasan Padang Jawa namun tidak mempunyai padang untuk kegunaan penduduk kampung. 

Katanya, ruang awam adalah antara aspek penting yang perlu diberi perhatian di Shah Alam. 

"Dahulu Shah Alam terkenal dengan Tasik Shah Alam, tetapi takkan itu sahaja?

"Kita kena lihat bagaimana hendak naik taraf taman-taman seksyen yang ada dalam Shah Alam," katanya.

PRU15 ini menyaksikan pertandingan empat penjuru di kalangan muka-muka baru. Afif, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya akan berentap dengan Hizatul Isham Abdul Jalil (Barisan Nasional), Azli (Pakatan Harapan) dan Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

Penyandang kerusi itu ialah Khalid Samad yang kini bertanding di Titiwangsa. 

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu merupakan ahli Parlimen Shah Alam untuk tiga penggal bermula 2008. 

Beliau menewaskan Abdul Aziz Shamsudin dan Zulkifli Noordin daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008 dan 2013 sebelum mengekalkan kerusi itu pada 2018 dalam pertembungan tiga penjuru dengan Azahar Shaari daripada BN yang memperoleh 22,100 dan Mohd Zuhdi Marzuki daripada PAS yang menerima 15,194 undi. 

Khalid memperoleh 55,949 undi atau 60% jumlah undi. 

Shah Alam merupakan kerusi bandar dengan majoriti pengundinya Melayu dan mempunyai sejumlah pengundi bukan Melayu yang signifikan.

Menurut bancian pada tahun 2020, Shah Alam mempunyai jumlah penduduk seramai 438,745. 

Daripada jumlah itu, 74% merupakan penduduk Melayu manakala masyarakat Cina dan India masing-masing membentuk 17% dan 8% penduduk. 

Shah Alam mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Kota Anggerik dan Batu Tiga. 

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata, tidak dinafikan PH mempunyai peluang untuk mempertahankan kerusi itu.

"Pengundi Shah Alam merupakan Melayu bandar yang mana corak pemikiran mereka lebih bebas dalam menentukan sikap politik mereka. 

“Jumlah pengundi bukan Melayu akan lebih berpihak kepada PH," katanya. 

Menurut Mazlan, kejadian banjir yang menimpa kawasan Sri Muda tidak menjejaskan pihak kerajaan negeri atau pembangkang kerana rata-rata rakyat menyalahkan kerajaan pusat atas kelewatan jentera kerajaan. 

Antara isu lain termasuklah bekalan air yang sering terputus di beberapa tempat di Shah Alam, selain masalah trafik yang menjadi igauan penduduk bandar itu. 

Isu kesesakan dirasai sendiri seorang penduduk, Ahmad Ramlan Abdul Talib yang telah menetap di Shah Alam selama 32 tahun.

"Trafik antara Jalan Subang dari Lebuhraya Guthrie sehingga Lebuhraya Persekutuan di Batu 3 Shah Alam menjadi sesak disebabkan oleh banyaknya  lampu isyarat di persimpangan berdekatan.

"Sebahagian dari lampu isyarat di persimpangan tersebut tidak mampu berfungsi sebagai 'signalised junction"," katanya.

Katanya, perkara itu dibawa ke Majlis Bandaraya Shah Alam namun dia diberitahu pihak bertanggungjawab ialah kerajaan persekutuan.

Dia berharap agar kesesakan trafik diberi perhatian oleh calon yang berjaya dilantik sebagai ahli Parlimen Shah Alam. 

Dalam pada itu Afif berkata, beliau mahu memanfaatkan kewujudan UiTM yang mampu menghasilkan arca seni untuk diletakkan di bulatan-bulatan di sekitar Shah Alam.