- Iklan -
Berita

SPR akan putuskan tarikh PRK Pelangai hari ini

Ini termasuk tarikh pengeluaran writ pilihan raya, penamaan calon dan pengundian, serta daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain untuk pilihan raya kecil itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan untuk pengundian awal di pusat mengundi Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak, 13 Disember 2021.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan untuk pengundian awal di pusat mengundi Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak, 13 Disember 2021.

Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh-tarikh penting pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang akan menjadi tumpuan hari ini.

Mesyuarat khas PRK yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh itu adalah berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya Johari Harun pada 17 Ogos lepas. 

SPR turut akan mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas itu yang akan menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya, di Menara SPR, Putrajaya.

Isnin lepas, SPR memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Mohd Sharkar Shamsudin berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Pelangai. 

Johari, 53, merupakan antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lepas.

Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.

Johari, tokoh korporat bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.