- Iklan -
Berita

Dakwaan 'satu undi BN satu undi untuk Zahid' hanya persepsi pembangkang, kata Ismail

Naib presiden Umno itu menegaskan sehingga kini tiada sebarang perubahan melibatkan calon perdana menteri BN selepas PRU15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Calon perdana menteri BN Ismail Sabri Yaakob bercakap ketika sidang media di Bera hari ini. Gambar: Bernama
Calon perdana menteri BN Ismail Sabri Yaakob bercakap ketika sidang media di Bera hari ini. Gambar: Bernama

Dakwaan satu undi kepada Barisan Nasional (BN) bersamaan satu undi untuk Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menjadi perdana menteri hanyalah persepsi yang dimainkan pihak pembangkang dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga naib presiden Umno menegaskan sehingga kini tiada sebarang perubahan melibatkan calon perdana menteri BN selepas PRU15.

“Saya pun dengar perkara itu, tetapi semalam saya dah perbetulkan persepsi itu, pihak pembangkang hanya nak wujudkan persepsi sedangkan saya (sudah) cakap Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) sudah putuskan selagi perkara itu tidak di ‘reversed’ dalam mesyuarat. Keputusan itu kalau nak ubah mesti dalam MT, mesti diubah dalam PAU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan, di Bera hari ini, ketika ditanya mengenai dakwaan itu yang dijadikan modal pembangkang di media sosial, tular sejak kebelakangan ini. 

Zahid sebelum ini dilaporkan berkata Ismail kekal dinamakan sebagai "poster boy" BN pada PRU15 dan calon perdana menteri, dengan pendirian gabungan berkenaan berhubung perkara itu tidak berubah sekiranya BN menang pilihan raya.