- Iklan -
Berita

Anwar akan bebaskan Najib, gugurkan kes Zahid jika disokong jadi PM, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata beliau mendapat maklumat Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perbincangan untuk bekerjasama.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berucap pada pelancaran Pejuang negeri Sabah di Aeropod Commercial Center, Kota Kinabalu hari ini. Gambar: Bernama
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berucap pada pelancaran Pejuang negeri Sabah di Aeropod Commercial Center, Kota Kinabalu hari ini. Gambar: Bernama

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim akan membantu menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan membebaskan Najib Razak dari penjara sekiranya disokong menjadi perdana menteri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, beliau mendapat maklumat Anwar dan Zahid sudah mengadakan perbincangan untuk bekerjasama.

Justeru, Mahathir berkata, ini antara sebab mengapa rakyat perlu menolak PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kenapa Anwar akan jadi PM dan bukannya Zahid? Sebab PM akan mohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya diampunkan Najib yang sedang meringkuk dalam penjara dan gugurkan segala kes yang masih ada terhadapnya,” katanya ketika berucap di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

“Selain itu, Anwar akan berusaha menggugurkan tuduhan terhadap Zahid dan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) lain.”

Sebelum PRU14, Mahathir yang mengasaskan Bersatu dan menyertai PH untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Najib dan berjaya berbuat demikian, sekali gus menjadi beliau perdana menteri buat kali kedua.

Bagaimanapun, kerajaan itu hanya bertahan selama 22 bulan apabila Bersatu keluar daripada pakatan itu dan berlaku perpecahan dalam PKR.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan keputusan parti itu meninggalkan PH adalah disebabkan tidak tahan dengan tekanan melampau daripada DAP.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan bahawa PKR dan DAP sememangnya tidak layak memimpin negara ini.

“Saya tidak kisah digelar pengkhianat, tetapi saya tidak akan mengkhianati rakyat, agama dan negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau sebelum ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.