- Iklan -
Berita

Sokongan Melayu PN meningkat, BN merosot

Bagaimanapun, tinjauan mendapati hampir 30% responden Melayu menunjukkan tiada kecenderungan atau tidak membuat keputusan parti yang mereka akan sokong.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan Perikatan Nasional melakukan kerja-kerja memacak bendera bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan berlangsung pada 19 November ini di Tasik Permaisuri, Cheras.
Sukarelawan Perikatan Nasional melakukan kerja-kerja memacak bendera bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan berlangsung pada 19 November ini di Tasik Permaisuri, Cheras.

Perikatan Nasional (PN) muncul di tangga kedua dalam meraih undi Melayu berikutan kemerosotan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN), menurut tinjauan pra pilihan raya Merdeka Center.

Tinjauan yang dijalankan dari 19 hingga 28 Oktober lalu terhadap 1,209 pengundi berusia 18 tahun ke atas, mendapati BN menerima sokongan Melayu sebanyak 32%, diikuti PN (20%), Pakatan Harapan (PH) (13%), sementara Gerakan Tanah Air (GTA) dan gabungan lain sebanyak 2%.

Sebanyak 29% responden berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan atau tidak pasti, manakala 4% tidak memberikan maklum balas.

Merdeka Center berkata, penemuan itu menunjukkan wujud penurunan dalam kecenderungan yang jelas dalam kalangan pengundi Melayu terhadap BN dan peningkatan kecil terhadap PH.

"Namun pada masa sama, masih terdapat sebanyak 29% pengundi Melayu yang menyatakan mereka tidak mempunyai kecenderungan atau masih belum membuat keputusan," katanya.

"Ada kemungkinan sebahagian daripada pengundi yang belum membuat keputusan ini mengundi parti kerajaan, namun pengalaman lalu memberitahu kita bahawa majoriti daripada mereka ini berkemungkinan akan mengundi mana-mana parti lawan, sama ada PN atau PH."

Dalam kalangan pengundi India, 32% menunjukkan mereka akan memberi sokongan kepada BN, sementara 1% lagi menyatakan sokongan kepada PN, dan 51% lagi menyatakan sokongan kepada PH. 

Sementara 6% lagi tidak pasti dan 2% berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan untuk menyokong mana-mana parti manakala 8% lagi tidak memberikan maklum balas.

Dalam kalangan pengundi Cina pula, tinjauan mendapati sokongan kepada BN adalah sebanyak 5%, PN (1%), PH (47%) dan GTA (1%). 

Sebanyak 23% lagi mengatakan mereka tidak pasti dan 18% berkata mereka tiada kecenderungan dan 3% lagi enggan memberi maklum balas.

Merentasi beberapa kumpulan umur, pengundi dalam kumpulan usia 18 hingga 20 tahun menunjukkan 28% daripada responden menyokong BN, PN (24%) dan PH (30%). 

Sebanyak 10% lagi berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan menyokong mana-mana parti.

Bagi kumpulan umur 21 hingga 40 tahun, tinjauan menunjukkan BN mendapat sokongan sebanyak 21%, PN (14%) dan PH (26%). 

Bagi kumpulan pengundi berusia melebihi 40 tahun menyatakan sokongan kepada BN sebanyak 27%, PN (10%) dan PH (24%).



Bagi kedua-dua kumpulan umur ini, 16% berkata mereka tidak mempunyai kecenderungan untuk menyokong mana-mana parti politik.

Dalam pada itu, majoriti pengundi iaitu sebanyak 72%, berkata negara berada di landasan yang salah manakala 20% lagi berkata Malaysia masih berada di landasan yang betul.

Beberapa kebimbangan turut dibangkitkan termasuk keadaan ekonomi, ketidaktentuan politik akibat pilihan raya yang akan dijalankan, dan isu lain seperti rasuah dan kaum.

Sebanyak 74% responden berkata ekonomi adalah masalah terbesar negara ketika ini manakala kebimbangan lain yang turut dibangkitkan termasuk inflasi (31%), ketidakstabilan politik (13%), rasuah (12%) dan pertumbuhan ekonomi (12%).

Kadar penerimaan terhadap kerajaan persekutuan pula adalah sebanyak 31% di mana 60% menunjukkan ketidakpuasan hati, manakala penerimaan terhadap perdana menteri sementara adalah sebanyak 42%.

Dari segi faktor pilihan dalam mengundi, 31% berkata mereka menumpukan calon tempatan diikuti parti (21%) dan kepimpinan persekutuan (13%).

Berhubung kriteria calon, ciri utama yang diingini pengundi adalah "seseorang yang mempunyai idea yang baik untuk negara" (27%), "bersih dan boleh dipercayai" (24%) dan "mampu membawa pembangunan di kawasan yang ditandingi“ (13%).

Pengundi muda lebih menekankan ciri "bersih dan boleh dipercayai" (34%) dan kurang menumpukan ciri keupayaan calon untuk "membawa pembangunan" (4%).

"Pada pendapat kami, kewujudan tiga gabungan utama dengan sokongan akar umbi yang besar serta ketidakpastian mengenai kadar peratusan keluar mengundi menyukarkan untuk menganggarkan keputusan dari segi bilangan kerusi Parlimen," kata Merdeka Center.

“Ketika ini, dengan tahap sokongan pengundi Melayu yang lebih rendah daripada jangkaan terhadap BN, ada kemungkinan untuk menganggap tidak ada satu gabungan yang akan meraih sokongan yang cukup besar untuk membentuk kerajaan satu parti atau satu gabungan.

"Sebaliknya, terdapat kemungkinan kuat bahawa sekurang-kurangnya tiga atau lebih parti/gabungan yang bekerjasama diperlukan bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah."

Demografi kaum dalam tinjauan tersebut ialah Melayu (52%), Cina (29%), India (7%), Bumiputera Islam (6%) dan Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak (6%).

Responden dipilih secara rawak daripada keseluruhan 222 kawasan Parlimen.