- Iklan -
Berita

'Langkah demokrasi' bertanding atas tiket parti lain, kata pengerusi BN Pahang

Wan Rosdy Wan Ismail berkata BN tidak boleh halang penyandang kerusi yang tidak dicalonkan mengambil langkah itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Barisan Nasional Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bercakap kepada pemberita di Kuala Lipis hari ini. Gambar: Bernama
Pengerusi Barisan Nasional Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bercakap kepada pemberita di Kuala Lipis hari ini. Gambar: Bernama

Penyandang Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib berhak bertanding di mana-mana platform yang dikehendakinya selepas digugurkan daripada mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Menyifatkan tindakan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu yang diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) sebagai "satu keraian demokrasi", Wan Rosdy berkata BN tidak boleh menghalang penyandang kerusi yang tidak dicalonkan bertanding atas tiket parti lain.

"Terpulang kepada dia (Ismail). Kita tak boleh nak halang sebab dia tidak dicalonkan (mewakili BN). Kalau dia berasakan layak mempertahankan kerusi yang pernah disandangnya, kita tak boleh buat apa sebab kita demokrasi," katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tapak Projek Penternakan Ayam Felcra di Sungai Damak Jeransang di Kuala Lipis hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Mat Roni Zakaria.

Pada Selasa, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerusi Parlimen Maran akan ditandingi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Shahaniza Shamsuddin, menggantikan Ismail yang menjadi ahli Parlimen di situ sejak  2004.

Pengumuman Ismail bertanding bagi PN dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada majlis di Marang, Terengganu malam tadi, walaupun sebelum ini, PN telah menamakan Fazil Azmi Nadzri dari PAS sebagai calon kerusi tersebut. 

Ismail juga dijangka mengadakan sidang media bersama Pengerusi PH Pahang Saifuddin Abdullah pada petang ini. 

PRU15 akan diadakan 19 November ini, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai penamaan calon manakala 15 November hari pengundian awal. 

Sementara itu, Rahman berkata ladang ternakan yang akan dibina di tanah seluas 20 hektar itu dijangka dapat menghasilkan 250,000 ekor ayam pada satu pusingan bersamaan dengan 1.5 juta ekor setahun. 

"Saya turut berharap usaha Felcra mengusahakan program mega luar bandar akan memberikan impak besar pembekalan ayam segar tempatan selain menambah peluang pekerjaan kepada peserta Felcra dan meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat," katanya.