- Iklan -
Berita

Ong Tee Keat 'optimis namun berhati-hati' bertanding di Pandan

Bekas penyandang kerusi itu dari 2004 hingga 2013, berkata rakyat gembira dan mengalu-alukan beliau sebagai calon.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Warisan Shafie APdal menyerahkan penerimaan permohonan keahlian bekas presiden MCA Ong Tee Keat di acara pengumuman calon Warisan di Kuala Lumpur pada 1 November. Gambar: Bernama
Presiden Warisan Shafie APdal menyerahkan penerimaan permohonan keahlian bekas presiden MCA Ong Tee Keat di acara pengumuman calon Warisan di Kuala Lumpur pada 1 November. Gambar: Bernama

Bekas presiden MCA, Ong Tee Keat berkata beliau “optimis namun berhati-hati" berhubung pencalonannya menggunakan tiket Warisan dalam pilihan raya umum akan datang bagi merebut kerusi Pandan, selepas bertahun-tahun tidak aktif dalam politik.

Ong, yang memegang kerusi Pandan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 selepas empat penggal mewakili Parlimen Ampang Jaya, berkata usahanya untuk kembali berpolitik didorong oleh aspirasi dan cita-cita Warisan ketika polemik berasaskan kaum sering tercetus dalam negara.

Bercakap kepada MalaysiaNow selepas bercuti hampir 10 tahun, beliau berkata hasratnya untuk bertanding di Pandan sebahagian besarnya didorong oleh rasa tidak senang yang diluahkan oleh beberapa penduduk tempatan kepadanya.

“Maklum balas mereka ialah kawasan pilihan raya itu terbiar sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Ong menyertai MCA pada 1981 dan dipilih sebagai presiden parti pada 2008. 

Beliau juga dilantik sebagai menteri pengangkutan pada tahun itu.

Ong terkenal kerana peranannya dalam mendedahkan kebocoran dana untuk kerja pengubahsuaian yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah sekolah Cina pada 2006, selain turut dikenali kerana menghukum timbalannya dalam MCA ketika itu, Dr Chua Soi Lek, berhubung kes DVD skandal seksnya.

Beliau juga merupakan orang yang memulakan siasatan ke atas Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Digelar sebagai "lone ranger", Ong berkhidmat sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999.

Pada pilihan raya umum 2013, beliau digantikan sebagai calon pada saat akhir, apabila MCA memilih Lim Chin Yee untuk menentang Rafizi Ramli dari PKR.

Beliau kemudiannya meninggalkan MCA pada 2017 selepas bersama parti itu lebih 30 tahun.

Di kerusi Pandan, beliau akan berdepan dengan Rafizi yang turut berhasrat untuk kembali aktif dalam arena politik negara.

Beliau berkata rakyat Pandan mahukan ahli Parlimen yang komited untuk berkhidmat dan mendengar keluhan mereka.

"Rakyat bimbang tentang isu kos sara hidup, terutama ketika negara mengalami kejatuhan ekonomi disebabkan pandemik," katanya.

Berhubung pertembungannya dengan Rafizi di kerusi itu, beliau berkata, baginya tiada beza siapa pun yang diletakkan sebagai lawannya.

"Saya tidak pernah takut dengan mana-mana orang besar dalam kerjaya politik saya," katanya.

"Saya juga tidak akan dihalang oleh retorik. Orang ramai hanya percaya pada pelaksanaan kata-kata yang boleh memberi manfaat kepada negara."