- Iklan -
Berita

Musim tengkujuh dijangka lebih awal, kata MetMalaysia

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata monsun timur laut akan bermula pada 7 November sehingga Mac tahun depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dua kanak-kanak meredah banjir di kawasan kampung di Johor pada Disember tahun lalu. Gambar: Bernama
Dua kanak-kanak meredah banjir di kawasan kampung di Johor pada Disember tahun lalu. Gambar: Bernama

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini berkata monsun timur laut (MTL) akan berlaku lebih awal pada minggu ini hingga Mac tahun depan, ketika negara bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika kebimbangan disuarakan ia bakal bertembung dengan bencana tahunan yang akan menjejaskan beberapa negeri.

Dalam sebuah kenyataan, MetMalaysia berkata MTL atau musim tengkujuh itu akan bermula pada 7 November hingga Mac, di mana empat hingga enam episod luruan monsun akan membawa hujan lebat berterusan sepanjang tempoh tersebut.

“Seperti musim-musim yang lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai. 

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat,” katanya.

Jabatan itu juga turut berkata kejadian air pasang besar juga dijangka berlaku pada 6 hingga 11 November dan 22 hingga 27 November, 7 hingga 12 Disember dan 22 hingga 26 Disember, dan 6 hingga 10 Januari dan 21 hingga 25 Januari 2023.

“Semasa MTL, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan. 

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.”