- Iklan -
Berita

Tiada kerusi, PSM batalkan kerjasama dengan PH

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata pihaknya faham PH tidak berhajat untuk menjalin pakatan pilihan raya dengan PSM

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Parti Sosialis Malaysia (PSM) membatalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas permintaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah ditolak.

Timbalan Pengerusinya S Arutchelvan berkata dalam dua mesyuarat yang diadakan dengan PH, PSM meminta agar Pengerusi parti itu Dr Michael Jeyakumar Devaraj, yang juga bekas ahli Parlimen Sungai Siput dibenarkan bertanding di kerusi panas tersebut.

"Memandangkan satu kerusipun tidak diberikan, kami faham bahawa PH tidak berhajat untuk menjalin pakatan pilihan raya dengan PSM.

“Kami kesal kerana perkara ini lewat dimaklumkan kepada kami meskipun Rafizi Ramli (timbalan presiden PKR) pada Jumaat menyatakan bahawa beberapa kerusi telah diperuntuk kepada PSM dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Dr Jeyakumar pernah menewaskan tokoh terkemuka MIC mendiang S Samy Vellu di kerusi Parlimen Sungai Siput atas tiket PKR pada 2008 dan mempertahankannya pada 2013.

Arutchelvan berkata PSM juga telah memberikan dua lagi kerusi Parlimen untuk ditandingi parti itu yang bukan disandang oleh Barisan Nasional (BN) jika Sungai Siput tidak diberikan sebagai senario terburuk dan meminta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri yang bukan disandang oleh BN.

Beliau berkata PSM telah dimaklumkan melalui sepucuk surat rasmi bertarikh hari ini bahawa permintaan PSM untuk mengadakan pakatan pilihan raya dengan PH telah ditolak sama sekali.

Katanya PSM akan mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pusat parti itu semalam serta Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan hari ini bagi memutuskan sama ada ia akan bertanding atau tidak pada PRU15.