- Iklan -
Berita

PH umum 14 calon Parlimen Kedah, kecuali Langkawi

Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar berkata calon PH bagi kerusi Langkawi akan diputuskan kemudian dan enggan mengulas mengapa calon bagi kerusi itu tidak diumumkan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas pilihan raya mengibarkan bendera Pakatan Harapan dan PKR di Jalan Tanjung Kling menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka pada November tahun lalu.
Petugas pilihan raya mengibarkan bendera Pakatan Harapan dan PKR di Jalan Tanjung Kling menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka pada November tahun lalu.

Pakatan Harapan (PH) malam ini mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengumuman dibuat oleh Ketua Penerangan PH Kedah Ismail Salleh pada Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah yang turut mengumumkan sembilan calon daripada PKR yang telah diumumkan semalam.

Lima lagi kerusi yang diumumkan malam ini ditandingi oleh empat calon daripada Amanah dan seorang calon DAP.

Bagaimanapun gabungan itu tidak mengumumkan nama calon bagi satu lagi kerusi di negeri itu iaitu Langkawi.

Empat calon daripada Amanah ialah Muaz Abdullah (Padang Terap), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Latipah Mohamad Yatim (Sik) dan Johari Abdullah, (Baling) sementara  Zulhazmi Shariff daripada DAP dicalonkan untuk bertanding di Jerai.

Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata calon PH bagi kerusi Langkawi akan diputuskan kemudian dan enggan mengulas sebab calon bagi kerusi itu tidak diumum malam ini.

"Kita akan maklumkan nanti, sebelum penamaan calon nanti," katanya.

Mengulas mengenai senarai calon PH di Kedah, Mahfuz berkata PH yakin dengan kehadiran muka baharu serta individu yang mempunyai pelbagai latar belakang akan mampu membawa sesuatu yang baharu kepada masa depan Malaysia. 

Berikut adalah senarai calon PH bagi 14 kerusi Parlimen di Kedah:

1. Jerlun - Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali

2. Kubang Pasu - Aizuddin Ariffin

3. Padang Terap - Muaz Abdullah

4. Pokok Sena - Mahfuz Omar

5. Alor Setar - Simon Ooi Tze Min

6. Kuala Kedah - Dr Azman Ismail

7. Pendang - Zulkifly Mohamad

8. Jerai - Zulhazmi Shariff

9. Merbok - Nor Azrina Surip

10. Sik - Latipah Mohamad Yatim

11. Sungai Petani - Dr Mohammed Taufiq Johari

12. Baling - Johari Abdullah

13. Padang Serai - M Karupaiya

14. Kulim Bandar Baharu - Saifuddin Nasution Ismail