- Iklan -
Kandungan Berjenama

Bantuan musim tengkujuh ditambah jika BN menang, kata PM

Menurut Ismail Sabri Yaakob peningkatan tersebut adalah sebanyak 18.1% berjumlah RM600 juta berbanding RM508 juta yang disalurkan pada tahun ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan terus menjaga kebajikan pekebun-pekebun kecil sekiranya dipilih semula sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. 

Ismail berkata, bantuan musim tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil Risda dan Felda akan ditambah pada tahun depan sekiranya Barisan Nasional (BN) menang.

Katanya, bantuan sebanyak RM600 itu akan ditambah sebanyak RM200, menjadikan jumlah RM800 dengan peruntukan RM256 juta selama empat bulan kepada 320,000 pekebun kecil. 

"Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada masyarakat pekebun kecil iaitu peningkatan sebanyak 18.1% berjumlah RM600 juta berbanding RM508 juta yang disalurkan pada tahun ini," katanya pada majlis bersama pekebun kecil makmur di Bera, Pahang hari ini. 

Sebelum ini, beliau berkata kerajaan meluluskan sejumlah RM191 juta BMT membabitkan 232,319 pekebun kecil Risda. 

Mereka bakal menerima RM600 yang diberikan secara berperingkat. 

RM300 akan diterima bulan depan manakala RM300 lagi akan diterima pada Disember. 

"Bagi BMT di negeri Pahang, sukacita saya mengumumkan seramai 24,237 pekebun kecil bakal menerima bantuan pada bulan hadapan dan Disember dengan jumlah peruntukan berjumlah RM14.54 juta," katanya. 

Ismail memaklumkan, 474 pekebun Risda Pahang menerima RM4.81 juta yang diperuntukkan untuk pemerkasaan pembangunan usahawan negeri itu. 

Dalam Bajet 2023 yang dibentang pada awal Oktober, sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan kepada sektor komoditi. 

Daripada jumlah itu, RM315 diperuntukkan kepada program menggantikan pokok getah tua membabitkan 387,000 pekebun kecil dan penerokaan pendapatan baharu selain getah dengan peruntukan RM40 juta.

Selain itu, insentif pengeluaran lateks bagi menambah baik rantaian bekalan bahan mentah dan skim perlindungan pertanian diperkenalkan bagi melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan. 

Dalam pada itu, katanya masyarakat Orang Asli turut menerima perhatian menerusi projek tanam semula ladang orang asli, merangkumi kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit.