- Iklan -
Berita

Amirudin bukan ancaman, namun Azmin kecewa ‘Anwar lari ke Perak’

Sebelum ini terdapat desas-desus menyatakan Anwar akan berdepan Azmin di Gombak sehingga menyebabkan kerusi Parlimen itu menjadi antara kawasan tumpuan PRU15.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penyandang kerusi Gombak Mohamed Azmin Ali mengibarkan bendera Perikatan Nasional bersama penyokongnya di Selangor malam tadi.
Penyandang kerusi Gombak Mohamed Azmin Ali mengibarkan bendera Perikatan Nasional bersama penyokongnya di Selangor malam tadi.

Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata beliau mengalu-alukan Amirudin Shari untuk menentangnya, namun meluahkan rasa "kecewa" apabila Presiden PKR, Anwar Ibrahim memilih untuk bertanding di Parlimen Tambun selepas membayangkan mahu berdepan dengannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

"Sebelum ini ada bunyi-bunyi nama besar cuba mengintai Gombak dan saya kata sesiapa pun boleh datang kerana kita amalkan demokrasi matang," kata Azmin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Gombak di Taman Pinggiran Batu Caves.

"Nak hantar anak, menantu atau isteri pun boleh, tetapi sebaiknya hantarlah diri sendiri. Tetapi, tiba-tiba lari ke Perak,” katanya merujuk Anwar yang sudah mengumumkan akan bertanding di Tambun, Perak menentang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata beliau tidak gentar untuk berdepan Amirudin yang tidak dianggap sebagai ancaman selepas PKR pada 28 Oktober lalu mengesahkan menteri besar Selangor itu diumum sebagai pencabarnya di Parlimen Gombak.

Katanya, keputusan meletakkan Amirudin sebagai calon di Gombak dianggap sebagai perang proksi PKR apabila langkah itu dilihat lebih kepada paksaan daripada parti berbanding kerelaan menteri besar itu sendiri.

"Kalau ikut laporan ada nama besar, tetapi apabila diumum, tak besar mana pun.

"Jawatan mungkin besar, tetapi jiwa tak semestinya besar," ujarnya.

Namun begitu, Azmin menyambut baik cabaran dari Amirudin dan percaya rakyat Gombak akan membuat keputusan yang matang.

"Nak jadi pemimpin dan wakil rakyat Gombak mesti ada komitmen untuk bela rakyat Gombak," katanya sambil menyeru pengundi untuk menolak individu yang "dipaksa" menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Pada 28 Oktober lalu, PKR menamakan Amirudin sebagai calon Gombak, yang sering dianggap sebagai protege Azmin ketika beliau masih menjadi timbalan presiden PKR.

Azmin sebelumnya mendedahkan Amirudin menghubunginya bagi memaklumkan kebimbangannya mengenai agenda sebenar di sebalik pencalonannya di sana.

"Dia kata, 'Aku disuruh bertanding di Gombak. Aku tau Min, ini dia nak sembelih aku di Gombak',"

Seorang pembantu Amirudin, Jay Jay Denis bagaimanapun menafikan dakwaan Azmin mengatakan ia adalah penipuan, sementara Amirudin akhirnya mengesahkan wujud perbualan tersebut yang disifatkannya sebagai gurauan.