- Iklan -
Berita

Boikot PRU15, siapa untung?

Penganalisis berkata mereka yang mahu memboikot PRU kali ini mungkin mahu peratusan keluar mengundi yang rendah dalam negara.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pengundi beratur untuk membuang undi di SMK Sri Muar pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.
Pengundi beratur untuk membuang undi di SMK Sri Muar pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Wujud beberapa pihak yang menyuarakan supaya orang ramai memboikot Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berikutan kebimbangan mengenai musim monsun timur laut dan rasa tidak puas hati terhadap tindakan membubarkan Parlimen, malahan gesaan itu berterusan setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian yang ditetapkan 19 November depan.

Ketika parti politik sudah mula menggerakkan jentera pilihan raya, penganalisis politik bersetuju bahawa tindakan memboikot pilihan raya hanya akan menguntungkan satu kumpulan.

Bercakap dengan MalaysiaNow, penganalisis politik dari University of Tasmania, Australia James Chin berkata, spekulasi mengatakan Umno ingin mengadakan PRU15 pada ketika ini bagi memastikan peratusan keluar mengundi rendah adalah munasabah.

Beliau berkata, ini kerana parti itu inginkan momentum seperti yang diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tahun lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar di kedua-dua negeri terbabit.

PRN Melaka menyaksikan BN yang diketuai Umno menang sebanyak 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala di Johor, gabungan parti politik itu meraih 40 daripada 56 kerusi.

Kedua-dua PRN ini menyaksikan jumlah peratusan undi rendah apabila di Melaka menyaksikan peratusan keluar mengundi 65.85% manakala Johor mencatatkan peratusan lebih rendah iaitu 54.92%.

Peratusan keluar mengundi itu adalah lebih rendah daripada jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mensasarkan sekurang-kurangnya 70% bagi kedua-dua PRN tersebut.

"Tanggapan ini adalah betul," kata Chin kepada MalaysiaNow.

"Mereka (Umno) inginkan momentum dari (PRN) Melaka dan Johor dan juga Sarawak."

Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ia diumumkan meskipun mendapat bantahan daripada ramai menteri Kabinet terutama daripada Perikatan Nasional (PN).

Ismail kemudiannya mempertahankan keputusannya, berkata pembubaran Parlimen dilakukan untuk menghentikan cakap-cakap yang mempersoalkan keabsahan pentadbirannya yang sering digelar sebagai "kerajaan pintu belakang" dengan mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Keputusan ini juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.”

Beliau juga menafikan tunduk kepada tekanan dari Umno, dan sekali lagi menuding jari kepada kepada "PN 12".

Tinjauan MalaysiaNow di Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini mendapati ramai penduduk di kawasan itu enggan keluar mengundi sekiranya berlaku banjir atau hujan lebat berterusan ketika berlangsungnya PRU15.

Mereka berkata, situasi banjir besar yang berlaku pada tahun lalu masih menghantui kebanyakan penduduk di situ dan mereka sanggup tidak mengundi demi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

Penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, berkata peratusan keluar undi rendah akan memberi kelebihan kepada Umno memandangkan parti itu mempunyai jentera terbesar berbanding parti politik lain di Malaysia.

Katanya, apabila berlaku pilihan raya, parti ini sudah pasti akan menggerakkan semua jentera dalam memastikan penyokong mereka keluar mengundi.

"Umno mempunyai jentera yang besar di peringkat akar umbi untuk membolehkan penyokong mereka mengundi termasuk pada keadaan yang mencabar.

"Parti pembangkang pula tidak mempunyai kekuatan jentera untuk melakukan perkara sama," katanya.

Dalam pada itu, Chin tidak menolak kemungkinan, sekiranya Umno berjaya meraih kemenangan besar dan membentuk kerajaan tanpa gabungan dengan parti politik lain, terdapat kemungkinan usaha membebaskan Najib Razak akan dilaksanakan.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu dihantar ke Penjara Kajang apabila Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

"Ini antara faktor tambahan mengapa kluster mahkamah inginkan PRU15 dengan lebih awal," tambah Chin merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang mempunyai kes rasuah di mahkamah.