- Iklan -
Berita

Kerajaan proaktif bentang rancangan selamatkan projek kapal tempur, kata Hishammuddin

Menteri pertahanan mempersoalkan usaha yang dilakukan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan projek LCS ketika mereka menjadi kerajaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan salah sebuah kapal tempur pesisir pertama atau LCS1 yang sudah 60% siap pada April tahun ini di Bousted Naval Shipyard di Lumut, Perak.
Pemandangan salah sebuah kapal tempur pesisir pertama atau LCS1 yang sudah 60% siap pada April tahun ini di Bousted Naval Shipyard di Lumut, Perak.

Kerajaan telah mengambil tindakan proaktif membentangkan kepada rakyat mengenai perancangan bagi menyelamatkan projek kapal tempur pesisir (LCS), kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Sebaliknya beliau mempersoalkan usaha yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) untuk menyelamatkan projek LCS itu, ketika mereka menjadi kerajaan.

“Saya hendak tanya kepada mereka selama 22 bulan mereka memerintah, apa yang mereka buat mengenai LCS ketika itu? Menuding jari memang mudah, memainkan politik dengan isu-isu itu pun senang dengan aplikasi TikTok dan sosial media,” katanya.

“Apa yang saya telah bentangkan kepada rakyat ialah perancangan kita untuk menyelamatkan projek ini, yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan kerajaan Perancis sendiri,” katanya.

Dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke KD Panglima Garang, Pangkalan TLDM Lumut di Kuala Lumpur hari ini, Hishammuddin yang juga ahli Parlimen Sembrong berkata pihak pembangkang diminta menunjukkan usaha yang dilakukan mereka, berhubung isu berkenaan ketika menjadi kerajaan.

“Kalau sekiranya mereka boleh menunjukkan kepada saya bahawa mereka boleh melakukan lebih baik daripada apa yang saya lakukan untuk LCS pada hari ini, maka boleh membangkitkannya sebagai satu isu.

“Kalau tidak, saya beranggapan apa yang dibangkitkan sekarang ini hanyalah pertimbangan politik,” katanya.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan, tiada satupun LCS disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal itu, seharusnya disiap dan diserah setakat Ogos 2022.

Pada 2 Oktober lepas,  Hishammuddin dilaporkan berkata fasa mobilisasi projek LCS selama enam bulan bermula Jun, menunjukkan perkembangan positif dan berjalan lancar selari dengan syor oleh beberapa pihak berkepentingan.