- Iklan -
Berita

PM ambil langkah redakan kebimbangan berhubung agensi perisikan Israel

Ismail Sabri Yaakob berkata beliau masih menunggu laporan daripada polis dan Majlis Keselamatan Negara berhubung agensi perisikan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sebelas individu dituduh menculik seorang warga Palestin diiringi ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober. Gambar: Bernama
Sebelas individu dituduh menculik seorang warga Palestin diiringi ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober. Gambar: Bernama

Tahap keselamatan Malaysia adalah terjamin, dan rakyat tidak perlu bimbang walaupun ada dakwaan wujudnya agensi perisikan luar yang aktif di negara ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan itu berkata beliau masih menunggu laporan daripada polis (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung dakwaan agensi perisikan luar yang ada kaitan dalam kes penculikan warga Palestin di Malaysia.

“Isu agen Mossad saya belum dapat laporan terperinci daripada MKN dan polis. Begitu juga warga Israel (yang masuk ke Malaysia menggunakan passport lain) saya tunggu laporan.

“Saya akan jumpa Ketua Polis Negara (Acryl Sani Abdullah Sani) dan MKN serta semua agensi berkaitan untuk saya dapatkan laporan,” katanya kepada media selepas perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil di Dataran Merdeka Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar ZM Albelbaisy Raeda.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa akhbar berkenaan.

Pada 5 Oktober lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 September hingga 4 Oktober.

Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi Umno bagi Pilihan Raya Umum ke-15, Ismail yang juga naib presiden Umno berkata ia masih dalam perbincangan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Perbincangan masih diteruskan untuk memilih calon-calon daripada Umno. Pengerusi perhubungan sudah pun bentangkan pandangan mereka pada minggu lepas jadi kita akan buat penilaian,” katanya.