- Iklan -
Berita

Mahkamah tetapkan 25 November putuskan permohonan Thomas batal saman Najib

Peguam Najib Razak, Yudistra Darma Dorai berhujah bahawa bekas peguam negara itu mempunyai sejarah 'menyerang' Najib yang kini menjalani hukuman 12 tahun penjara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas peguam negara Tommy Thomas dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 25 November untuk keputusan permohonan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas bagi membatalkan saman yang difailkan Najib Razak berhubung dakwaan salah guna jawatan awam kerana mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Ahmad Bache menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak bagi permohonan Thomas untuk membatalkan saman tersebut. peguam Yudistra Darma Dorai mewakili Najib manakala Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

“Keputusan permohonan itu ditetapkan pada 25 November, pukul 9 pagi,” kata hakim.

Sebelum itu, Yudistra berhujah bahawa Thomas mempunyai sejarah "menyerang" Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

Peguam itu berkata Thomas yang dilantik sebagai AG pada 2018, bertemu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2015 untuk membincangkan mengenai Najib yang dikatakan sebagai “penipu” serta pada 2016 Thomas

Beliau berkata Thomas membuat komen demikian terhadap Najib semasa beliau menjadi AG, dalam bukunya, My Story: Justice in the Wilderness.

Sementara itu, Gomez berhujah bahawa pertuduhan berkaitan 1MDB bukan ‘pendakwaan politik’ dan tidak digugurkan walaupun selepas tempoh Thomas sebagai AG berakhir pada Februari 2020.

“AG Idrus Harun meneruskan pertuduhan itu. Beliau mempunyai budi bicara untuk menggugurkan pertuduhan tetapi tidak berbuat demikian," katanya.

Thomas, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang difailkan pada 18 Nov 2021, antara lain mendakwa jika saman Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Pada 22 Oktober 2021, Najib memfailkan saman tersebut yang mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.